Kurang sambutan vaksin Covid-19 kanak-kanak Sabah


Dr Rose Nani berkata, ibu bapa perlu peka mengenai pemberian vaksin terhadap anak-anak mereka sebagai perlindungan menjelang waktu persekolahan nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

SAMBUTAN ibu bapa terhadap pemberian vaksin kepada kanak-kanak masih rendah di Sabah meskipun sebanyak 255 pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka di negeri itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Rose Nani Mudin, berkata PPV itu terdiri daripada klinik dan hospital kerajaan serta swasta.

“Pemberian vaksin juga diadakan di sekolah malah JKNS juga ke kawasan luar seperti pulau dan hutan (pedalaman) serta terbuka juga kepada setiap jabatan, jika memerlukan vaksin sila maklumkan kepada JKNS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran bilik laktasi pertama di Sabah dan merasmikan mesyuarat pertama Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKKSI) di Kota Kinabalu hari ini.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun dilaporkan berkata, seramai 73,545 atau 17.88% kanak-kanak menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Dr Rose Nani berkata, ibu bapa perlu peka mengenai pemberian vaksin terhadap anak-anak mereka sebagai perlindungan daripada virus Covid-19 apabila menjelang waktu persekolahan nanti.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemberian vaksin dan dos penggalak dalam kalangan orang dewasa berjaya menurunkan jumlah kes kematian, selepas mencapai kadar 75% status vaksinasi di negeri itu pada Disember lalu.

Mengenai program itu, katanya bilik laktasi berkenaan adalah hasil inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah untuk kemudahan kakitangan kementerian itu.

“Usaha ini perlu dicontohi oleh setiap kementerian mahupun agensi swasta untuk memberi kemudahan kepada ibu yang bekerja supaya dapat menyusukan bayi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, JKNS bersedia memberi bantuan dari segi nasihat dan teknikal, melalui projek tanggungjawab sosial korporat bersama kementerian mahupun agensi yang mewujudkan bilik laktasi, sekali gus menyokong usaha JKNS menggalakkan penyusuan susu ibu untuk tumbesaran generasi akan datang. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen