Proses alih bongkah batu runtuhan kuari Perak selesai 70% hari ini


Kejadian pada 9.15 pagi Selasa lepas itu menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus, manakala dua lagi mengalami patah tulang kaki serta serta seorang cedera ringan. – Gambar Facebook, 12 Mac, 2022.

KIRA-KIRA 70 peratus pengalihan bongkah batu besar dijangka dapat diselesaikan hari ini bagi mengenal pasti kedudukan tepat dua mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands sejak Selasa.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Malaysia (JBPM) Perak Aidil Adlee Che Mee berkata proses pengalihan itu bergantung kepada faktor cuaca dan pergerakan tanah.

“Kita sedang giat melakukan proses pengalihan batu itu sehingga kita dapat membuka laluan ke kedudukan terakhir dua mangsa yang tertimbus itu

Operasi hari ini dimulakan dengan letupan pada bongkah batu dilakukan bagi memudahkan kerja-kerja pengalihan di samping penilaian taktikal operasi dilakukan oleh pasukan penyelamat,” katanya.

Beliau berkata operasi yang bermula sejak 8 pagi tadi dengan kekuatan seramai 62 anggota pasukan keselamatan daripada bomba, polis,  Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART)  dengan dibantu pegawai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pekerja kuari dalam operasi yang masuk hari kelima hari ini.

Kejadian pada 9.15 pagi Selasa lepas itu menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala dua lagi, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, hanya cedera ringan. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen