Rakyat Malaysia, lembu mangsa sebenar NFC, kata Rafizi


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengimbas kembali pengalamannya mendedahkan skandal Pusat Fidlot Nasional kendalian National Feedlot Corporations pada 2011. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2018.

KONTROVERSI Pusat Fidlot Nasional kendalian National Feedlot Corporation (NFC) tujuh tahun lalu terus bernafas semula malam tadi apabila ia menjadi tarikan utama dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya.

Ceramah yang selalunya mengetengahkan isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu malam tadi bertukar angin apabila Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjentik hadirin ketawa dengan cerita-cerita pengalamannya mendedahkan isu itu pada 2011.

Rafizi juga mengambil kesempatan malam tadi menjawab kenyataan Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil yang mengatakan naib presiden PKR itu bukannya “mangsa” apabila dihukum penjara 30 bulan kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), Rabu lalu.

“Shahrizat betul. Saya bukannya mangsa sebenar dalam skandal NFC kerana mangsa sebenarnya ialah lembu,” kata Rafizi.

“Lembu-lembu itu mulanya dibawa dengan kapal dari Australia dan sebahagiannya mati semasa dalam perjalanan. Kemudian dipindahkan ke NFC di Gemas, ada yang patah kaki dalam trak dan mati juga.

“Kemudian selepas dibawa ke Gemas, mereka diberi makan isirong sawit dan bukannya rumput menyebabkan lagi banyak yang mati,” kata Rafizi kepada 400 hadirin yang datang mendengar ceramah pertamanya sejak dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, Rabu lalu.

Satu lagi mangsa dalam isu NFC itu, tambah beliau, ialah rakyat Malaysia yang duit cukai mereka digunakan untuk membiayai projek itu.

Selain Rafizi, bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad juga dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana melanggar peruntukan Bafia.

Dalam ceramahnya, Rafizi kemudian mengaitkan skandal NFC dengan isu 1MDC dan kontroversi Felda dan berkata kesan masalah NFC itu masih lagi dirasai sampai ke hari ini.

“Kes itu bermula pada 2006 apabila Barisan Nasional (BN) menang dengan mandat yang paling besar pada 2004. Kemenangan besar itu menyebabkan sesetengah mereka berani untuk berbuat nakal.

“Kalau kita benarkan BN menang lagi, kes seperti NFC ini akan jadi lagi,” kata Rafizi.

“Sampai hari ini, pinjaman mudah kerajaan sebanyak RM250 juta yang diberikan kepada NFC masih belum dibayar balik. Satu kes penyelewengan akan tinggalkan kesan sampai bertahun-tahun.

“Saya dengar baru-baru ini Shahrizat hendak bertanding di Sungai Besar. Kalau betul dia bertanding, saya akan ikut dia ke mana saja dengan trak penuh lembu untuk ingatkan pengundi apa yang sudah berlaku,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Pandan itu juga memperolok-olokkan Shahrizat apabila mengatakan bekas menteri itu dan keluarganya bukan “mangsa” NFC kerana suami dan anak-anaknya menerima gaji besar semasa mengendalikan syarikat berkenaan.

NFC ialah sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Agroscience Industries Sdn Bhd untuk mewujudkan industri ternakan yang berdaya saing bagi Malaysia.

Ia menerima pinjaman mudah sebanyak RM250 juta daripada kerajaan pada 2009 dan sepatutnya mula membayar hutang itu balik pada 2012.

Suami Shahrizat, Mohamad Salleh Ismail dan anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Izzana Fatimah Zabedah dan Wan Shahinur Izmir  merupakan pengarah di NFC ketika itu.

Pada 2010, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan NFC gagal mencapai sasarannya untuk membiak 8,000 baka lembu di Gemas, Negeri Sembilan selain menyatakan kegagalan pengurusannya.

Pada November 2016, Rafizi kalah dalam saman fitnah dan diarah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada Salleh dan NFC kerana mendakwa pinjaman bank yang diambil oleh syarikat itu digunakan untuk membeli kondominium.

Selain Rafizi, ceramah PH malam tadi menampilkan Ahli Parlimen PJ Utara, Tony Pua; Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan Ketua Amanah Selangor, Izham Hashim. – 10 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • isu ini NFC sudah lama berlalu .rafizi ketandusan idea untuk mencari kelemahan kerajaan .Kita dapat lihat pemabngkang sengaja memutar kan isu selain 1MDB untuk meraih sokongan politik

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan

  • Pasal menyangka dan berdolak-dalih UMNO memang hebat. Hmm, patutlah tak berani berdebat secara terbuka.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Jaafar Sarbani · Ulasan