Sultan Selangor dilantik pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dipilih sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk tempoh dua tahun pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-258. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

PEMILIHAN Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk tempoh dua tahun pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-258 adalah selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Majlis Raja-raja.

Menurut satu kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad hari ini, Jawatankuasa yang dipengerusikan Allahyarham Ahmad Sarji Abdul Hamid sebelum ini berpandangan oleh kerana Islam terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara Raja-raja Pemerintah adalah lebih bertepatan untuk MKI dipengerusikan seorang Raja Pemerintah.

Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-258, membuat ketetapan bahawa salah seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab pengerusi selama dua tahun secara bergilir-gilir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

“Perakuan Jawatankuasa (itu) dirunding oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dengan pihak kerajaan dan mencapai persefahaman dan kata sepakat.

“Susulan daripada perkembangan tersebut, Majlis Raja-raja kali ke-258 berkenan memilih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia untuk tempoh dua tahun,” menurut kenyataan itu.

Menurut Syed Danial kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan sebuah akhbar tempatan pada 10 Mac lepas yang melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja kerana laporan itu dianggap boleh mengelirukan.

Syed Danial berkata pelantikan Pengerusi MKI sejak penubuhannya oleh Majlis Raja-Raja sendiri pada 1968 sememangnya dibuat Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj diperkenankan sebagai Pengerusi MKI.

Bagaimanapun Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-258, membuat ketetapan salah seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab pengerusi selama dua tahun secara bergilir-gilir sementara perdana menteri dilantik sebagai Timbalan Pengerusi selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan itu. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen