LEBIH sejuta pengundi sudah mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor setakat jam 2 petang tadi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kurang kira-kira 400,000 pengundi berbanding Pilihan Raya Umum 2018 ketika tempoh pengundian berbaki empat jam.
SPR mengumumkan 46% daripada 2.5 juta pengundi di Johor mengundi sehingga 3 petang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mereka yang mengundi di Johor keseluruhannya berjumlah 1,503,995 atau bersamaan 82.73% daripada mereka yang berdaftar pada masa itu.
PRN Johor kali ini menyaksikan pertambahan lebih kurang 28% pengundi atau hampir 780,000 menjadikan keseluruhan pengundi 2,597,742 orang.
Daripada jumlah itu, 173,177 pengundi berumur 18 hingga 20 tahun, sementara lebih kurang 50% daripada keseluruhan pengundi berumur kurang 40 tahun.
PRN Johor adalah pilihan raya pertama di Malaysia melibatkan kumpulan pengundi berumur 18 tahun susulan pindaan undang-undang mengurangkan had umur layak mengundi dan pendaftaran pengundi automatik pada Mac 2019.
Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka sejak 8 pagi dan dijadual terus dibuka sehingga 6 petang ini. Beberapa pusat pengundian bagaimanapun dijadual tutup awal kerana bilangan pengundi yang kurang.

Jumlah mereka yang keluar mengundi meningkat lebih kurang 5-6% dari jam ke jam, dengan 22% pada 11 pagi, bertambah kepada 29% (12 tengah hari) dan kemudian 35% (1 petang).
Hampir 23,000 pengundi layak mengundi awal dengan 18,625 daripada mereka menunaikan tanggungjawab Selasa lepas (8 Mac).
Pilihan raya ini disertai 239 calon daripada 11 parti politik yang bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Enam calon bebas turut bertanding.
Daripada 56 kerusi itu, 35 dipertandingkan empat penjuru sementara pertembungan tiga penjuru di tujuh kerusi, lima penjuru di lapan kerusi dan enam penjuru di empat kerusi. – 12 Mac, 2022.
Komen