Ismail Sabri tinjau pengundian PRN Johor


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (kiri) ketika meninjau proses pembuangan undi PRN Johor di DUN Kempas hari ini. – Gambar Twitter Ismail Sabri, 12 Mac, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini meninjau perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang mula dibuka pada jam 8 pagi tadi.

Ismail Sabri tiba di Sekolah Kebangsaan Perumahan Tampoi 2, Kempas, satu daripada 1,021 pusat mengundi dibuka hari ini, pada jam 1.55 petang dan meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat dari perkarangan luar sekolah itu.

Perdana Menteri turut dilihat mengadakan pertemuan dengan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas Ramlee Bohani.

Ramlee berdepan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Napsiah Khamis Maharan (Pakatan Harapan), Nornekman Osman (Pejuang), Nur Faizal Abdullah (Perikatan Nasional) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Mohd Suhimi A Rahman dan Mohd Hambali Munadi.

Turut kelihatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Nur Jazlan Mohamed.

Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Pada PRN Johor kali ini, 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi DUN Johor.

Sementara itu, dalam hantaran di Twitter beliau, Ismail Sabri bersyukur proses pengundian hari ini lancar dan teratur.

“Meninjau PDM Taman Siantan, DUN Kempas bersama calon Barisan Nasional, Ramlee Bohani.

“Jumpa Aisyah (jurufoto Nur Aisyah Mazlan) daripada NSTP yang sedang bertugas. Alhamdulillah proses mengundi di sini lancar dan teratur,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melakukan tinjauan di luar perkarangan pusat mengundi bagi DUN Kota Iskandar di Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini, dekat Skudai.

Ismail Sabri tiba di tempat pengundian pada jam 2.30 petang dan berada di situ kira-kira 10 minit, serta bergambar dengan beberapa pengundi yang selesai menunaikan tanggungjawab mereka di pusat mengundi itu. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen