Bawa anak autisme pergi mengundi satu tugas besar


Seorang pengundi berkerusi roda ditemani pegawai SPR untuk menjalankan tanggungjawab memangkah undi pada PRn Johor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Mac, 2022.

MEMBAWA anak yang menghidap autisme untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini, disifatkan sebagai tugas besar buat seorang ibu bagi memastikan anaknya itu turut menunaikan tanggungjawabnya memilih wakil rakyat.

Tan Chiew Lian, 59, berkata beliau bersama anak lelakinya Tee Wen Jian yang berusia 32 tahun mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, di pusat mengundi Sekolah Menengah Foon Yew, Stulang Laut.

Tan yang juga guru di sekolah itu sejak 26 tahun lalu berkata, proses pengundian anak keduanya itu berjalan lancar meskipun ia pengalaman pertamanya turun mengundi.

“Dia tahu (cara mengundi), sebelum ini saya sudah jelaskan dan beritahu dia kalau ada nampak (apa-apa simbol pada kertas mengundi), orang itu akan jadi wakil rakyat. Dia juga mengundi sendiri, tanpa saya dan orang lain jadi wakil,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menjelaskan walaupun anaknya itu sukar untuk bertutur atau berinteraksi, dia bersemangat untuk bangun awal dan memakai pakaian kemas untuk pergi ke pusat mengundi.

Tan pada masa sama mengharapkan mana-mana calon yang menang di DUN itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, ikhlas dan amanah.

Sementara itu, pesara kerajaan Abdul Latip Jaappan, 69, berkata biarpun bertongkat sejak enam bulan lalu berikutan mengalami ‘slip disc’, ia tidak menghalangnya untuk mengundi, malah turut dibantu dengan kerusi roda ke saluran ditetapkan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bapa kepada seorang cahaya mata itu mengundi bersama isterinya Fauziah Ismail, 61, di Sekolah Menengah Foon Yew.

Terdahulu, tinjauan di pusat mengundi itu mendapati keadaan cuaca pagi tadi cerah dan orang ramai dilihat berbaris di luar pagar pusat mengundi itu setengah jam lebih awal sebelum diarahkan petugas penunjuk arah ke bilik menunggu untuk mengundi yang bermula jam 8 pagi.

Di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 1, Pasir Gudang bagi DUN Permas pula, usia dan pergerakan yang terhad tidak menghalang warga emas Ahmad Taha @ Idris Omar untuk mengundi hari ini.

Ahmad yang berusia 78 tahun diiringi ahli keluarga tiba di pusat mengundi dengan berkerusi roda.

“Saya memang tidak akan melepaskan peluang mengundi melainkan keadaan sakit dan uzur. Walaupun lutut dan kaki saya masih sakit, saya tetap hadir mengundi bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat,” katanya.

Seorang penyelia tapak, Hafiz Mahyiddin, 34, tetap hadir ke pusat mengundi walaupun masih bercuti sakit akibat patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan bulan lalu.

“Hari ini saya ditemani isteri turun mengundi. Ini kali kedua mengundi dan saya tidak mahu terlepas peluang ini walaupun kaki saya belum pulih sepenuhnya dan perlu menjalani fisioterapi,” katanya. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen