Ekopelancongan teras kelima pelancongan Melaka, kata exco


Menyusuri sepanjang Sungai Melaka antara tarikan pelancongan di negeri Hang Tuah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

AKTIVITI ekopelancongan iaitu pelancongan berasas alam semula jadi akan menjadi teras kelima pelancongan Melaka selepas keluarga, warisan, kulinari dan membeli-belah, kata exco pelancongan, warisan dan kebudayaan negeri Muhammad Jailani Khamis.

Muhammad Jailani berkata, ia berikutan banyak khazanah alam semulajadi yang belum diteroka di Melaka, sekali gus memberi peluang kepada pencinta alam untuk menikmati keindahan alam.

Beliau berkata, aktiviti ekopelancongan akan berkonsepkan ‘glamping’ (perkhemahan glamor) menggunakan kuasa solar yang semakin popular ketika ini.

“Ia tidak akan menyebabkan kerosakan kepada ekosistem dan ekologi sesuatu tempat sekali gus dapat memastikan pencinta alam dapat menginap di sesuatu lokasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program memerhati burung pemangsa (raptor watch) 2022 di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan di Alor Gajah, hari ini.

Muhammad Jailani berkata, setakat ini, dua lokasi dikenal pasti untuk melaksanakan aktiviti ekopelancongan berkonsepkan ‘glamping’ iaitu di Pulau Besar dan Pulau Nangka dan sedang meneliti lokasi sesuai untuk melaksanakan aktiviti sama di Tanjung Tuan.

Mengulas mengenai program memerhati burung pemangsa, Muhammad Jailani berkata, sebanyak 8,000 ekor burung pemangsa daripada jenis oriental honey-buzzard, gray-faced buzzard dan Japanese sparrowhawk dikesan bermigrasi merentasi Selat Melaka sejak lima hari lalu.

Katanya, terdapat antara 300 hingga 400 orang mengunjungi hutan rekreasi itu bagi menyaksikan fenomena tahunan itu.

Raptor adalah burung jenis maging yang mempunyai ciri pemburu dan pemangsa seperti sayap ringan, mata tajam, paruh bercangkuk, kuku besar dan tajam.

Pada musim sejuk di hemisfera utara, ketika sumber makanan dalam kawasan pembiakan menurun, ia akan berhijrah ke selatan yang panas kerana makanan lebih mudah didapati.

Antara burung pemangsa yang sering berhijrah ke Selat Melaka pada setiap Mac adalah helang lebah (oriental honey buzzard), helang baza berjambul (black baza), helang sewah (Japanese sparowhawk), alap-alap Cina (Chinese goshawk), helang merah (brahminy kite) dan lang baza hitam (grey-faced buzzard). – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen