50% keluar mengundi di Johor setakat 4 petang, kata SPR


Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka sejak 8 pagi dan dijadual terus dibuka sehingga 6 petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Mac, 2022.

SEBANYAK 50% pengundi keluar mengundi pada PRN Johor setakat jam 4 petang tadi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka sejak 8 pagi dan dijadual terus dibuka sehingga 6 petang ini. Beberapa pusat pengundian bagaimanapun dijadual tutup awal kerana bilangan pengundi yang kurang.

Proses pengundian hari ini melibatkan 2,539,606 pengundi daripada 2,597,742 keseluruhan pengundi berdaftar yang layak untuk mengundi pada PRN Johor. 

Sejumlah 18,625 pengundi terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mengundi awal, Selasa lalu (8 Mac).

Pilihan raya ini disertai 239 calon daripada 11 parti politik yang bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Enam calon bebas turut bertanding.

Daripada 56 kerusi itu, 35 dipertandingkan empat penjuru sementara pertembungan tiga penjuru di tujuh kerusi, lima penjuru di lapan kerusi dan enam penjuru di empat kerusi. – 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen