Buat ujian kendiri bila diperlukan, jangan paranoid, kata MMA


Ravin Palanisamy

Ujian kendiri Covid-19 tidak perlu dibuat setiap hari kecuali wujud keperluan pekerjaan, kata Persatuan Perubatan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

ORANG awam tidak sepatutnya paranoid dengan melakukan ujian kendiri setiap hari serta membeli pukal kit ujian kendiri, kata Persatuan Perubatan Malaysia.

Presidennya Dr Koh Kar Chai juga menasihati orang awam supaya hanya membeli kit ujian kendiri pada masa ia diperlukan, menambah yang ujian harian hanya diperlukan mengikut pekerjaan mereka.

“Kekurangan kit ujian kendiri hanya akan berlaku jika wujud pembelian panik. Terdapat bekalan kit ujian kendiri mencukupi dalam pasaran. Orang awam dinasihati untuk tidak membeli pukal kit ujian dan hanya membeli jumlah diperlukan sahaja.

“Jangan paranoid tentang perlunya melalukan ujian kendiri setiap hari kecuali ia ditetapkan oleh pekerjaan anda. Profesional kesihatan pun tidak menguji diri mereka setiap hari kecuali jelas ada keperluan untuk berbuat demikian kerana situasi berisiko tinggi.

“Keperluan pengujian kendiri wujud apabila menghadiri majlis melibatkan ramai orang, melawat warga emas atau individu berisiko tinggi, selepas menjadi kontak rapat dengan individu dijangkiti atau bergejala, setakat menamakan beberapa situasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Koh berkata disebabkan kadar kebolehjangkitan tinggi varian Omicron, jumlah kes positif akan naik sehingga kita mencapai puncak.

Disebabkan itu, tambahnya lagi, penting untuk semua orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan lebih ketat supaya tidak dijangkiti.

Jelasnya, walaupun ketepatan kit ujian kendiri tidak boleh dibandingkan dengan ujian RTK Antigen dibuat profesional disebabkan perbezaan pengambilan dan analisis sampel serta ujian RT PCR yang jauh lebih tepat, kit ujian kendiri sedia ada sekarang masih berfaedah ketika kes makin meningkat naik.

“Sila berunding dengan doktor anda bagi mendapatkan penjelasan lanjut hasil keputusan jika anda ragu-ragu,” katanya.

Semalam Malaysia melaporkan 32,800 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah terkumpul kes sejak wabak mula meledak di negara ini kepada 3.78 juta kes. – 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen