Kes Covid-19 naik, China kurung bandar, Shanghai tutup sekolah


China menyaksikan peningkatan kes harian Covid-19 lebih 1,000 sejak minggu lepas, memaksa tindakan pengurungan bandar, penutupan sekolah dan perniagaan dilakukan. – Gambar AFP, 12 Mac, 2022.

BANDAR di China dengan sembilan juta penduduk dikenakan perintah berkurung semalam dan Shanghai menutup sekolah ketika pihak berkuasa bergegas mengekang penularan Covid-19 yang meningkatkan kes di seluruh negara ke tahap tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Changchun, bandar di tenggara wilayah Jilin dan pusat penting perindustrian, mengarahkan penduduknya untuk tinggal di rumah dan hanya membenarkan seorang dari satu rumah untuk keluar setiap dua hari bagi membeli “keperluan harian”.

Bandar itu juga menghentikan pengangkutan awam, mengarahkan sekolah dan perniagaan ditutup dan akan menjalankan saringan massa.

Kes harian Covid-19 di China naik melebihi 1,000 kes minggu ini buat pertama kali sejak wabak mula meledak pada 2020.

Peningkatan itu berbanding kurang 100 kes sehari tiga minggu lepas disebabkan penularan varian Omicron yang mencabar pendekatan China bagi membendung pandemik.

Covid-19 pertama kali dikesan di China pada hujung 2019 tetapi kerajaan mengekangnya dengan mengamalkan piawaian antarabangsa termasuk gabungan pengurungan bandar, saringan massa dan penutupan sempadan.

Terdapat 1,369 kes di lebih 12 daerah, menurut data pihak berkuasa semalam.

Jilin yang melaporkan ratusan kes harian sejak beberapa hari lepas adalah antara bandar yang menyaksikan peningkatan kes seperti di beberapa bandar utama lain termasuk Beijing dan Shanghai.

Shanghai semalam juga mengarahkan sekolah ditutup dan beralih ke pembelajaran dalam talian sehingga diberitahu kelak selepas berpuluh kes di kesan di pusat ekonomi wilayah itu.

Ketika kes sedang menaik, Suruhanjaya Kesihatan Nasional semalam mengumumkan yang mereka akan memperkenalkan ujian antigen pantas.

Kit itu boleh dibeli orang awam secara dalam talian atau farmasi bagi saringan kendiri, kata suruhanjaya, walaupun ujian nukleik asid akan tetap menjadi kaedah saringan utama. – AFP, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen