Rakyat Malaysia di Singapura pulang mengundi PRN Johor


Penumpang tiba di Larkin Sentral melalui VTL di Johor Baharu, Johor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Mac, 2022.

PLATFORM bas Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) di Larkin Sentral di Johor Baharu sejak semalam dipenuhi penumpang yang pulang ke tanah air dari Singapura antaranya mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Muhammad Hazeq Amir Aziz, 26, yang bekerja sebagai penghantar surat di republik jiran itu adalah antara mereka yang pulang untuk mengundi dan pada masa yang sama melepaskan rindunya terhadap tanah air tercinta dan keluarganya di Mersing.

“Saya dah dua tahun berada di Singapura dan rasa bertuah sebab dapat tiket untuk balik ke Malaysia hari ini, agak susah nak dapat tiket sebenarnya.

“Niat saya memang balik untuk mengundi dan guna kesempatan ini nak jumpa keluarga yang telah dua tahun saya tidak jumpa. Memang dah menjadi tanggungjawab kita untuk mengundi, saya teruja untuk mengundi buat pertama kali,” katanya ketika ditemui di Larkin Sentral, semalam.

Lee Chen Seng, 36, turut menggunakan kesempatan pulang mengundi pada PRN Johor kali ini untuk bersatu semula dengan keluarganya setelah dua tahun tidak dapat pulang akibat penutupan sempadan negara.

“Mengundi itu memang tanggungjawab kita, semua orang perlu keluar mengundi. Saya pulang kerana bagi saya setiap undian itu penting,” katanya yang bekerja sebagai pengurus kilang di Singapura.

Hazeq Amir dan Lee sependapat bahawa perjalanan mereka merentasi Tambak Johor berjalan lancar dan proses yang ditetapkan melalui VTL adalah mudah.

Malaysia dan Singapura melancarkan VTL-Darat pada 29 November 2021 bertujuan melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen bertujuan membantu mereka yang terpisah daripada orang tersayang akibat pandemik untuk kembali ke Malaysia.

Hari ini adalah hari pengundian bagi PRN Johor. – Bernama, 12 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen