Pejuang akan jadi macam Umno dahulu, bukan ‘Umno Najib’, kata Dr Mahathir


Ravin Palanisamy

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata corak pemerintahan Pejuang jika menjadi kerajaan negeri adalah sama seperti Umno sebelum zaman Najib Razak di mana semua kaum beroleh nikmat dan rezeki. – Gambar tangkap layar video Facebook, 11 Mac, 2022.

PEJUANG merupakan parti berasaskan Melayu, tetapi ia tidak akan ketepikan kepentingan kaum lain jika menang pilihan raya Johor dan membentuk kerajaan negeri baharu, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan negeri yang diterajui Pejuang akan jadi seperti “Umno dahulu”, di mana semua kaum boleh berkembang maju, bukan orang Melayu sahaja, katanya pada wawancara Pejuang bertajuk Kemuncak Perubahan malam ini sebelum rakyat Johor membuang undi esok.

Beliau berkata “Umno dahulu” adalah parti sebelum era Najib Razak, yang digelarnya sebagai pencuri.

“Secara kebetulan orang Melayu memerintah, orang Cina (dan India) dapat lebih banyak nikmat, rezeki daripada pemerintahan orang Melayu.

“Jadi, pemerintahan Pejuang juga begitu. Kita pegang kepada cara-cara Umno dahulu. Bukan Umno Najib. Umno Najib ni pencuri.”

Dr Mahathir berkata Najib, yang dalam proses merayu sabitan dan hukuman dalam perbicaraan berkaitan 1Malaysia Development Bhd, sangat mahukan Umno-Barisan Nasional menang agar beliau dapat dibebaskan daripada semua pertuduhan terhadapnya.

“(Dengan cara) Umno dahulu, kita dapat bangunkan negara, majukan negara sehingga dikenali sebagai Harimau Asia,” kata Dr Mahathir.

Pejuang bertanding 42 kerusi daripada 56 kerusi DUN dalam pilihan raya Johor namun tidak bersama Pakatan Harapan.

Dr Mahathir berkata pengundi Johor perlu memilih parti baharu yang bersih dan bebas rasuah sebagai kerajaan negeri.

“Kita nak lihat pertukaran, melihat ada kerajaan yang baharu yang lebih cekap daripada kerajaan yang telah dibubarkan,” katanya merujuk kepada Umno-Barisan Nasional. – 11 Mac, 2022.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen