PUTRAJAYA akan mengumumkan keputusan sama ada memilih rangkaian borong tunggal (SWN) atau dwi-rangkaian borong (DWN) untuk pelancaran 5G, pada minggu depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Annuar Musa berkata Kabinet telah membincangkan rancangan tersebut hari ini, berikutan kebimbangan syarikat telekomunikasi tentang harga yang tinggi, antara lain.
Memberitahu Reuters melalui mesej teks, Annuar berkata sidang media akan dibuat pada Rabu bagi bagi mengumumkan keputusan tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran mengenai apa yang dibincangkan Kabinet hari ini.
Syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum ini mencadangkan Putrajaya menggunakan DWN berbanding SWN.
Cadangan itu dibuat susulan kebuntuan antara pengendali dan Digital Nasional Bhd (DNB).
Syarikat-syarikat telekomunikasi bimbang rangkaian 5G tunggal yang dikendalikan kerajaan akan mengakibatkan monopoli lebih mahal berbanding menggunakan 5G sendiri, lapor Reuters.
Namun DNB berkata ia akan mengenakan bayaran yang lebih rendah kepada pengendali untuk mengakses rangkaian berbanding kos yang ditanggung untuk 4G. – 11 Mac, 2022.
Komen