KKM nafi keluar arahan sedia saluran mengundi khas bagi pesakit Covid-19


Kementerian Kesihatan menafikan pernah keluar arahan tentang penyediaan saluran mengundi untuk mereka yang positif Covid-19 dalam pilihan raya Johor, menggesa abaikan audio tular itu dan ikut arahan MKN dan SPR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menafikan pernah mengeluarkan arahan mengenai penyediaan saluran mengundi Pilihan Raya Negeri Johor bagi mereka yang positif Covid-19 seperti ditularkan menerusi media sosial.

KKM dalam satu hantaran menerusi laman rasmi Facebook meminta orang ramai supaya mengabaikan rakaman audio yang tular tersebut. 

“Sila abaikan rakaman audio ini dan ikuti arahan Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” menurut KKM. 

Terdahulu, tular satu rakaman audio berdurasi satu minit lapan saat yang mendakwa kononnya mereka yang positif Covid-19 boleh mengundi dengan syarat perlu memaklumkan KKM mengenai butiran peribadi seperti nama, alamat dan nombor telefon. 

Rakaman audio itu turut mendakwa kenderaan KKM yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) akan membawa pengundi yang positif Covid-19 pergi dan pulang dari pusat mengundi. – Bernama, 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen