HASNI Mohammad tidak layak menjadi menteri besar Johor kecuali jika beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang Singapura boleh lebih maju jika dipimpin Umno, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP itu berkata jika menteri besar sementara Johor Hasni enggan mengakui kesilapannya, maka pengundi harus memilih Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri Johor esok.
“Lebih baik pengundi Johor sokong PH untuk bentuk kerajaan negeri baharu, daripada menyokong dan bergantung harap kepada pemimpin yang hidup dalam dunia fantasi melainkan beliau menarik diri dan memohon maaf atas kenyataan tidak masuk akal dan tidak rasionalnya,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Lim mengulas kenyataan Hasni yang berkata Singapura boleh jadi lebih maju jika diterajui Umno.
Hasni berkata demikian sebagai membidas kenyataan PAS yang berkata Singapura lebih maju daripada Malaysia kerana tiada Umno.
Pengerusi Barisan Nasional Johor itu membidas Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah dengan berkata Singapura boleh jadi lebih maju jika diperintah oleh Umno, sambil menambah ia boleh menandingi Parti Tindakan Rakyat yang memerintah Singapura.
Lim mempersoalkan bagaimana Johor boleh stabil apabila rakan pakatan dalam kerajaan, BN dan Perikatan Nasional, saling menyerang sesama sendiri dengan rakus.
“Episod terbaharu serangan keras membabitkan Amar mendakwa Singapura lebih maju daripada Malaysia kerana tiada Umno di sana.
“Walaupun mungkin ada kebenaran atas serangan provokatif PAS, Hasni sepatutnya tidak menyanggah PAS dengan mencadangkan Singapura boleh jadi lebih maju jika dipimpin oleh Umno.”
Lim berkata kenyataan Hasni itu bukan sahaja tidak berasas tetapi satu jenaka apabila terdapat kemajuan berbeza di kedua-dua negara sejak Singapura berpisah daripada Malaysia pada 1965.
“Berbeza dengan kedudukan Singapura sebagai negara ke-4 paling bersih di dunia oleh Transparency International Corruption Perception Index, Malaysia telah merosot kepada ranking terburuk pernah berada di No. 62,” katanya.
“Adalah fantasi yang keterlaluan untuk Hasni menyatakan Umno boleh menjadikan Singapura lebih baik apabila ia adalah parti yang terkenal dengan rasuah dengan ketuanya Najib Razak didapati bersalah atas pertuduhan berkaitan skandal RM52 bilion 1MDB.”
Tambah ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan tidak masuk akal dan tidak rasional oleh Hasni memusnahkan kredibiliti dan kecekapannya serta menimbulkan keraguan serius terhadap keupayaannya untuk memimpin sesebuah negeri. – 11 Mac, 2022.
Komen