Pihak berkuasa, anggota penyelamat teruskan tinjauan di kawasan tanah runtuh


Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang petang semalam meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas. – Gambar Facebook, 11 Mac, 2022.

PIHAK berkuasa dan anggota penyelamat meneruskan pemantauan di lokasi insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan awal pagi ini.

Tinjauan di lokasi mendapati situasi di kawasan terbabit masih dikawal pihak berkuasa  selain keadaan cuaca semasa adalah cerah.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut meninjau lokasi insiden pagi ini.

Tinjauan di Jabatan Forensik Hospital Ampang pula mendapati setakat ini, hanya seorang waris mangsa yang terkorban dalam insiden itu hadir ke jabatan berkenaan.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang petang semalam meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi SAR kelima-lima mangsa yang dilaporkan tertimbus itu yang bermula petang semalam tamat pada kira-kira 2 pagi tadi selepas kesemuanya berjaya ditemukan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan Kuala Lumpur mengalami hujan berterusan di beberapa kawasan hingga 14 Mac.

Kejadian tanah runtuh itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan berita sedih tersebut menerusi hantaran ringkas di laman Facebooknya dan meminta orang ramai mendoakan agar semua mangsa dapat diselamatkan. – Bernama, 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen