JAWATANKUASA khas siasatan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akan membentangkan laporan akhirnyapada Jun, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Laporan Free Malaysia Today menyebut, menteri hal ehwal Parlimen itu berkata, satu laporan awal juga sedang disediakan selepas tindakan jawatankuasa itu selama tiga bulan.
“Jawatankuasa khas ini sedang melaksanakan fungsinya dalam tempoh enam bulan dan bagi tujuan pelaporan, satu laporan interim sedang disediakan selepas tempoh tiga bulan.
“Laporan tersebut akan dibentangkan selepas 15 Mac 2022 dan laporan akhir Jawatankuasa dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Jun,” katanya seperti dipetik.
Beliau dilaporkan menyebut demikian dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan status jawatankuasa khas itu.
Jawatankuasa khas dibentuk pada 29 Oktober tahun lalu untuk menyemak semula kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada 27 November 2018.
Adib, anggota bomba yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya dalam kejadian itu.
Beliau meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Adib disebabkan tindakan jenayah oleh lebih dua orang individu tidak dapat dikenal pasti.
Pada 13 Julai lalu, bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador berkata tiada saksi boleh dipercayai dijumpai dalam serangan sehingga menyebabkan kematian anggota bomba itu. – 11 Mac, 2022.
Komen