UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih kekal sebagai parti pilihan pengundi Melayu luar bandar Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, sama seperti dalam pilihan raya umum lalu.
Tinjauan The Malaysian Insight mendapati, pengundi Melayu di kawasan separa bandar pula terbuka untuk memilih Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu, PAS, dan Gerakan.
Seorang pemilih, Aris Azam, 62, pengundi di Kukup berkata hanya BN sahaja parti yang boleh diharapkan untuk membawa pembangunan dan kemajuan ekonomi.
“BN sahaja yang boleh membawa pembangunan, Umno juga satu-satunya parti Melayu yang boleh diharapkan,” kata bapa kepada tiga anak itu.
DUN Kukup adalah satu daripada 18 kerusi luar bandar yang dimenangi BN dalam PRU14. Calon Umno tidak pernah kalah di Kukup sejak kerusi itu mula dipertandingkan pada 1974.
Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang 19 dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor – 18 daripadanya di kawasan luar bandar melalui Umno (17 kerusi) dan MIC (dua kerusi).
Satu-satunya kerusi bukan luar bandar yang dimenangi BN ialah Parit Raja yang terletak dalam kawasan parlimen Batu Pahat.
Dalam PRN Johor kali ini, BN berkempen dengan slogan “kestabilan untuk kemakmuran” dan Aris percaya ia mampu membawa kebaikan kepada ekonomi setempat yang suram waktu ini.
Penutupan sempadan negara memberikan kesan langsung kepada ekonomi tempatan di Kukup yang menjadi pintu masuk antara Malaysia dan Indonesia.
Kukup yang kaya dengan hasil laut segar juga menjadi destinasi kegemaran rakyat republik Singapura menghabiskan hujung minggu mereka.
Selain hasil laut, Kukup turut merangkumi kawasan penanaman ladang kelapa sawit yang luas.
“Perniagaan tidak lagi serancak dulu sebab sempadan negara ditutup, sebab itu yang lebih penting hanya BN yang mampu membawa pembangunan,” kata Aris yang pernah bekerja selama 25 tahun di Singapura.
Aris juga berkata, Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Pengerusinya Muhyiddin Yassin harus bekerja keras jika mahu meyakinkan pengundi kelebihan parti itu berbanding BN.
“Muhyiddin harus jumpa masyarakat tempatan dan terangkan apa PN boleh buat untuk Kukup,” katanya.
Khidmat cemerlang wakil rakyat BN pula menarik mereka untuk mengekalkan penguasaan parti itu walaupun pemimpin utamanya bergelut dengan pelbagai skandal.
Di Pekan Peradin, di dalam kawasan Kukup, Ahmad Rupawah yang bekerja sebagai pemandu lori amat menyenangi ahli Parlimen Tanjung Piai Wee Jeck Seng.
Walaupun Wee merupakan wakil rakyat MCA, pengundi seperti Ahmad, 54, tidak rasa dipinggirkan kerana khidmat yang diberikannya merentasi sempadan kaum.
“BN popular di Tanjung Piai kerana Wee Jeck Seng. Beliau sentiasa menyelesaikan masalah penduduk. Kalau beliau sibuk, pembantunya akan turun membantu penduduk,” kata Ahmad.
Ahmad juga berpeluang mengerjakan umrah pada 21 Mac depan, atas tajaan Wee.
Wee tidak asing bagi pengundi setempat kerana pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama dua penggal dalam PRU12 dan PRU13 sebelum tewas dalam PRU14.
Bekas Adun Pekan Nenas pada PRU11 itu kemudiannya kembali merampas Tanjung Piai daripada PH yang mempertaruhkan calon Karmaine Sardini dalam pilihan raya kecil 2018.
Ahmad juga berkata, beliau hanya mengetahui kewujudan PN kerana pengerusinya Muhyiddin Yassin pernah menjadi perdana menteri.
“Tak pasti orang akan undi PN atau tidak. Saya juga tidak berminat dengan Pejuang dan PKR, cuma kalau PKR beri baju-T percuma, saya ambil,” katanya.
Di Felda Ayer Hitam yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kukup, sentimen sama disuarakan pesara kakitangan awam, Rozana Ishak.
Rozana, 50, yang berasal dari Simpang Renggam berasa sukar memilih pembangkang kerana melihat Pakatan Harapan (PH) gagal melunaskan janji sepanjang 22 bulan pentadbirannya.
Parti yang mampu memberikan kestabilan adalah keutamaannya, kata Rozana yang ditemui ketika sedang sedang menikmati minum petang bersama dua rakannya.
“Bila janji tinggal janji dan kita juga hampa, jadi ramailah yang patah balik kepada BN.
“Mungkin sebelum ini kita hari-hari makan bayam, jemu juga. Sekali-sekala nak rasa yang lain, tapi bila dah tahu tak sedap, kita balik semula kepada bayam,” katanya.
“Parti-parti baharu ini buat memeriahkan majlis sahaja, bagus ada banyak parti baharu tapi mampu tak mereka mentadbir?” tambahnya.
Felda Ayer Hitam mempunyai kira-kira 2,700 penduduk dalam DUN Machap, yang merupakan salah satu daripada dua kerusi dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam.
Seperti Kukup, kerusi luar bandar Machap tetap dimenangi BN dalam PRU14 walaupun kerusi Parlimen Simpang Renggam jatuh ke tangan PH, melalui calon Bersatu, Maszlee Malik ketika itu.
BN berjaya mengekalkan penguasaan selama empat penggal di Machap sejak pertama kali dipertandingkan pada 2004.
Pengundi Melayu separa bandar bagaimanapun bersikap lebih terbuka terhadap PN yang atas faktor Muhyiddin yang menarik perhatian mereka kerana pernah menjadi perdana menteri.
Lebih-lebih lagi ketika pentadbiran PN selaam 17 bulan, Muhyiddin banyak memberikan bantuan tunai sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang Covid-19.
Seorang pengundi di kawasan separa bandar di DUN Bekok, Mohd Fazham Rahmat berkata beliau sukar menerima Umno dan BN disebabkan skandal yang terpalit kepada pimpinan parti.
Fazham, 38, yang pernah bekerja sebagai jurukimpal profesional di luar negara menolak BN kerana skandal membabitkan pemimpinnya pimpinan seperti Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.
“Daripada Najib baik Muhyiddin lagi. Umno ini dah tak boleh nak selamatkan selagi orang yang di atas itu tak ditukar. Umno dah terlalu teruk,” katanya.
Fazham yang marah dengan skandal 1MDB membabitkan Najib merupakan antara ahli Umno yang berkempen untuk Bersatu dan PH sewaktu PRU14 lalu.
DUN Bekok dalam kawasan Parlimen Labis salah satu daripada 23 kerusi kawasan separa bandar yang dimenangi PH dalam PRU14. Kerusi majoriti Cina itu dimenangi DAP sejak PRU13.
Khairul Amirul Haris, 19, pengundi pertama kali dari DUN Bekok pula berpendapat PN berpeluang dalam PRN kali ini.
Penuntut jurusan undang-undang semester satu dari kolej swasta itu berkata, pentadbiran Muhyiddin dan PN sebelum ini menyaksikan parti itu menitikberatkan soal kebajikan rakyat.
“PN berpeluang menang. Kita dapat lihat waktu PKP dulu, ada bantuan kepada rakyat, rakyat menilai,” katanya yang turut membantu perniagaan keluarga menjual otak-otak di pekan Labis.
Seramai 239 calon merebut 56 kerusi DUN Johor dalam PRN yang akan berlangsung pada Sabtu.
Pengundian awal yang berlangsung pada Selasa lalu menyaksikan peratusan keluar mengundi yang tinggi sebanyak 87%. – 11 Mac, 2022.
Komen