BN boleh menang Johor, tetapi bukan dua pertiga


Chan Kok Leong

Selepas 10 hari berkempen dilihat keyakinan Barisan Nasional untuk menang besar di Johor semakin kendur sehinggakan media yang mesra Umno turut menjangkakan gabungan itu mungkin menang 30-33 kerusi DUN sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2022.

SELEPAS Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang di Melaka dan Sarawak, BN sekali lagi dijangka menang mudah di Johor.

BN begitu yakin sehinggakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata peluang tinggi dapat semula majoriti dua pertiga atau 37 kerusi di DUN 56 kerusi itu.

Malah ada yang jangka BN akan menang sehingga 42 kerusi berbanding 19 yang dimenangi pada 2018. Namun ini adalah pada permulaan kempen pada 26 Februari.

Selepas lebih 10 hari berkempen, keyakinan itu agak kendur sehingga Utusan Malaysia yang dikaitkan dengan Umno pada Selasa menjangkakan BN hanya mampu menang 30-33.

Apa yang telah berubah?

Ancaman Perikatan

Pertama, ia berikutan jumlah parti baharu yang muncul dalam pilihan raya ini.

Berbanding pertembungan terus dengan Pakatan Harapan (PH), BN kini perlu berhadapan dengan Perikatan Nasional (PN) dikepalai Muhyiddin Yassin, Pejuang yang dipengerusikan Dr Mahathir Mohamad, Muda yang diterajui Syed Saddiq Abdul Rahman, Warisan yang dikemudi Shafie Apdal serta Parti Bangsa Malaysia.

Daripada jumlah ini, PN yang paling bermasalah buat BN.

Seperti di Melaka di mana gabungan Muhyiddin berjaya tembus, kali ini di Johor PN menunjukkan minat yang tinggi, walaupun label “pengkhianat” dilemparkan oleh PH dan BN. Ini kerana khianat terhadap PH dengan membuat Langkah Sheraton pada 2020, sebelum bergaduh pula dengan Umno selepas membentuk kerajaan bersama bagi menjatuhkan PH daripada kuasa persekutuan.

Sentimen di Johor sepanjang dua minggu berkempen menunjukkan orang Melayu positif terhadap PN dan Muhyiddin khususnya, yang merupakan anak jati Johor, bekas menteri besar, dan juga ahli Parlimen Pagoh.

Sebahagian besar minat terhadap Muhyiddin juga disebabkan oleh tempoh singkatnya sebagai perdana menteri semasa sekatan pergerakan, apabila beliau memberikan wang tunai dan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, sentimen terhadap Muhyiddin dan PN boleh berbeza antara pengundi bandar dan luar bandar. Harus diingat kedua-dua PN dan BN pada dasarnya bersaing untuk mendapatkan undi Melayu yang sama.

Walaupun sesetengah pengundi bandar mungkin bersedia untuk mengundi PN, rakan mereka di luar bandar menunjukkan kecenderungan yang kurang dengan BN. Lebih-lebih lagi di tempat-tempat di mana wakil-wakil BN tempatan (Parlimen atau negeri) telah melaksanakan tugas mereka dengan bersungguh. Johor juga merupakan tempat kelahiran Umno, dan kubu kuat BN.

Nuansa ini tidak boleh dipandang remeh kerana PN terutamanya menarik undinya daripada BN dan bukannya PH, kerana penyokong PH masih menganggap Muhyiddin bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaan pada 2020.

Ini bermakna walaupun PN tidak boleh menang kerusi bandar secara sendiri, ia boleh kurangkan undi BN untuk memanfaatkan PH.

Johor bukan Melaka

Untuk katakan yang BN berjaya di Melaka adalah satu kenyataan yang kurang tepat. Kerana dengan hanya 38.4 peratus undi popular, mereka berjaya memenangi 75 peratus atau 21 daripada 28 kerusi DUN di Melaka.

Sebaliknya, bahagian undi PH dan PN masing-masing sebanyak 35.8 peratus dan 24.3 peratus, hanya memperoleh lima dan dua kerusi.

BN dan pemimpin-pemimpinnya yang menyatakan mereka boleh ulangi kemenangan besar di Johor melihat kepada hasil kerusi, dan bukannya undi popular. Walaupun PH dan PN lebih banyak undi berbanding BN, mereka masih ada lebih sedikit kerusi.

Tetapi matematik di Johor berbeza kerana sifat kerusi negeri itu tidak sama dengan Melaka.

Di Johor pada Pilihan Raya Umum 2018, BN menang 18 daripada 20 kerusi luar bandar.

Daripada 23 kerusi pinggir bandar, ia hanya menang satu. Manakala BN kalah semua 13 kerusi bandar.

Untuk memenangi Johor dengan majoriti mudah 29, BN perlu merampas semula kesemua 20 kawasan luar bandar dan sekurang-kurangnya sembilan 9 kerusi pinggir bandar atau bandar.

Namun walaupun menggunakan Najib Razak yang popular di kerusi luar bandar, BN tidak pasti menang kesemua 20 kerusi.

Sebagai contoh kerusi luar bandar, di Paloh dan Layang-Layang, Sheikh Umar Ali dari DAP dan Dr Maszlee Malik dari PKR popular. Di sini, pengundi BN pun cenderung untuk menyokong dua pencabar pembangkang tersebut untuk kerusi itu kerana populariti mereka. Satu contoh, merujuk kepada tinjauan pendapat Melaka, ialah bagaimana bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari berjaya mempertahankan Bukit Katil walaupun ia kubu kuat Umno.

Di kawasan luar bandar lain iaitu Endau, Tenggaroh, Kahang, Gambir dan Bukit Kepong, BN berhadapan masalah yang sama berikutan populariti calon pembangkang.

Di kerusi pinggir bandar dan bandar, populariti BN juga tidak meningkat secara drastik. Berbeza dengan Melaka, sebilangan pengundi merasakan pilihan raya Johor tidak perlu dan mula bimbang bagaimana kemenangan besar BN hanya akan mempercepatkan PRU15.

Walaupun BN mahu merampas semula beberapa kerusi bandar yang hilang pada 2018 seperti Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Permas, Larkin, Perling dan Kempas, sentimen di sini terhadap gabungan itu masih tidak jelas.

Ini penting kerana salah satu kemenangan utama bagi BN di Melaka ialah menawan semula lima kawasan pinggir bandar (Machap Jaya, Kelebang, Pengkalan Batu, Telok Mas dan Durian Tunggal), dua bandar (Duyong dan Paya Rumput) dan dua luar bandar (Gadek dan Rembia) daripada pembangkang yang kalah pada 2018.

Lebih ramai pengundi

Di Melaka, BN hanya perlu bekerjasama dengan jumlah pengundi yang lebih kurang sama seperti pada 2018, walaupun dengan peningkatan kecil berikutan pendaftaran baharu. Tetapi di Johor, terdapat peningkatan sebanyak 41 peratus atau 748,000 pemilih baharu menerusi pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik pada Januari.

Daripada jumlah ini, hampir separuh (45 peratus) pengundi baharu diagihkan ke 13 kerusi bandar di sekitar kawasan pilihan raya Johor Bahru, meninggalkan baki 43 kerusi.

Walaupun pengundi baharu luar bandar masih berkongsi beberapa pertalian dengan BN kerana hubungan kekeluargaan, rakan mereka di bandar tidak mempunyai sentimen sedemikian malah ramai daripada mereka yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka lebih cenderung untuk menyokong sama ada PN atau PH.

Peralihan di bandar konsisten dengan tiga Pilihan Raya Umum lepas di mana semakin banyak kerusi bandar jatuh ke tangan pembangkang.

Satu-satunya yang tidak pasti ialah berapa ramai pengundi baru ini akan buang undi pada hari pengundian, selain peratusan keluar mengundi daripada pengundi luar kawasan. Ramai pengundi Johor sama ada bekerja di Singapura atau Lembah Klang.

Seperti yang ditunjukkan oleh banyak pemerhati dan penganalisis, peratusan keluar mengundi akan menjadi kunci.

Semua pembolehubah ini bersama-sama menjadikan Johor tidak menentu bagi BN. Satu-satunya kepastian setakat ini ialah tidak mungkin Bn menang dua pertiga. – 11 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen