RAKYAT Johor tidak seharusnya membiarkan diri mereka terpedaya dengan kempen Malu Apa Bossku oleh bekas perdana menteri Najib Razak, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“DAP merayu kepada 2.6 juta pengundi Johor agar tidak membiarkan Najib merampas pilihan raya negeri dengan kempen Malu Apa Bossku yang membayangi keperluan kerajaan Johor akan datang untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih baik dengan menangani (masalah) kos sara hidup, cukai baharu, meningkatkan denda kompaun kerana melanggar SOP Covid-19 dan isu sara hidup.
“Kempen peribadi Najib diwarnai dengan kepentingan peribadi untuk menumpang kemenangan BN yang dijangka sebagai makanan politik untuk menyelamatkan dirinya dalam penglibatannya menerusi skandal RM52 bilion 1MDB,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Beliau menambah walaupun Najib disabitkan kesalahan rasuah dan bukti yang tidak dapat dinafikan di seluruh dunia bahawa ratusan juta ringgit disalurkan ke dalam akaun peribadinya, ahli Parlimen Pekan itu terus bersama BN seolah-olah beliau tidak bersalah dan bebas daripada skandal.
Lim berkata kepentingan dan mata pencarian 2.6 juta pengundi adalah lebih penting daripada nasib seseorang.
“Atas sebab ini seramai 2.6 juta pengundi Johor mesti keluar beramai-ramai untuk mengundi pada 12 Mac bagi memastikan kebimbangan mereka mengenai kos sara hidup mesti ditangani,” kata Lim.
Menurut ahli Parlimen Bagan itu walaupun inflasi dan kenaikan harga diburukkan lagi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang mendorong harga minyak melepas AS$110 setong - kerajaan masih belum mewujudkan dana penstabilan harga.
“Apa gunanya kestabilan politik jika tiada kestabilan harga? Untuk menyemak kenaikan harga, DAP mencadangkan dana penstabilan harga dengan dana permulaan RM3 bilion diperoleh daripada cukai kemakmuran atau cukai durian runtuh yang diperkenalkan tahun ini.
“Sebagai tindak balas kerajaan menjawab di Parlimen bahawa mereka masih mengkaji cadangan kami,” katanya.
Sementara itu Lim mengulangi hujahnya bahawa kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seterusnya dengan mengatakan masih ramai yang tidak dapat menampung kehidupan.
Beliau berkata kerajaan perlu membenarkan pengeluaran sekurang-kurangnya RM5,000 lagi bagi menampung peningkatan kos sara hidup.
Sehingga Oktober tahun lepas kira-kira 7.4 juta pencarum KWSP mengeluarkan RM101 bilion daripada KWSP melalui skim bantuan berkaitan Covid-19.
Menurut KWSP 73% daripada pencarum tidak akan mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara dengan usaha membantu pencarum menambah dana mereka akan dilakukan pada masa hadapan. – 10 Mac, 2022.
Komen