KERAJAAN tidak membiayai dan tidak memberi jaminan pinjaman untuk Digital Nasional Bhd (DNB), kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata DNB akan mendapatkan dana menerusi bank, dan ia akan dibayar semula menerusi keuntungan jualan dijana daripada kapasitinya sebagai pemborong.
“Ia tidak akan membabitkan jaminan atau pembiayaan daripada kerajaan, khususnya secara tidak langsung seperti didakwa sesetengah pihak.
“DNB dibiayai menerusi gabungan pembiayaan tertunda kepada vendor, pembiayaan dagangan dan modal kerja, selain program sukuk yang akan dikeluarkan ke pasaran modal,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Fahmi Fadzil (Lembah Pantai-PH) di Dewan Rakyat hari ini.
DNB ditubuhkan pada Mac 2021 bagi memacu pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia.
Fahmi bertanya berkenaan jumlah pembiayaan kerajaan untuk DNB sejak penubuhannya pada 2021.
Beliau turut bertanya tentang jumlah menara telekomunikasi dibangunan DNB.
Tengku Zafrul berkata setakat Januari, DNB memperoleh pembiayaan komersial berjumlah RM1.7 bilion.
Beliau berkat asyarikat itu membelanjakan RM544 juta dalam tempoh sama, termasuk untuk infrastruktur jaringan 5G, perkakasan dan modal kerja.
“Pada 25 Disember, 2021 jaringan 5G dipasang di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.
“Sejumlah 500 tapak berjaya diintegrasikan setakat 9 Januari, 2022 sementara hingga hujung 2022, sebanyak 3,500 tapak lagi disasarkan untuk memberi liputan Pulau Pinang, Johor Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.”
Tengku Zafrul berkata kerajaan menjangkakan pelaksanaan 5G siap dengan efisien dan lancar bagi kepentingan semua.
:Ini kerana 5G dalam menambah baik kesejahteraan rakyat dan memperkasakan persaingan negara.
“Pada masa sama, ia akan menggalakkan pelaburan berasaskan teknologi dari dalam dan luar negara.” – 10 Mac, 2022.
Komen