LEBIH 86 tan pelitup muka dibuang setiap hari pada 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda Malaysia dan pemakaiannya diwajibkan untuk keselamatan kesihatan awam.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian menurut data dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Ia berkata jumlah bahan buangan itu dikira berdasarkan kepada anggaran penggunaan sekeping pelitup muka pada berat 3 gram sehari.
Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Wong Shu Qi (Kluang-PH), di mana pandemik Covid-19 menyebabkan penambahan bahan buangan itu, menyebabkan perlunya cara lebih selamat dan mampan untuk menguruskan cara pembuangannya.
Wong dalam soalannya bertanya menteri kementerian itu berkenaan jumlah bahan buangan yang terhasil daripada penggunaan pelitup muka pakai buang, kit ujian saringan dan PPE, serta apa tindakan kerajaan untuk mengurangkan bahan buangan.
Kementerian berkata pelitup muka bukan perubatan, kit ujian kendiri Covid-19 dan PPE bagi kegunaan sendiri dikategorikan sebagai bahan buangan domestik, bukan perubatan.
Ia berkata akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan agensi lain bagi meningkatkan kesedaran bagaimana cara menguruskan bahan buangan itu menerusi program pendidikan di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat. – 10 Mac, 2022.
Komen