Sukar untuk BN raih dua pertiga di Johor, kata Kian Ming


Ketika BN yakin mampu meraih majoriti kukuh, pemimpin DAP Ong Kian Ming percaya gabungan itu hanya mampu meraih paling banyak 27 kerusi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2022.

BARISAN Nasional (BN) berkemungkinan memenangi bawah separuh daripada kerusi DUN di Johor berbanding dua pertiga yang didakwa mampu diraih parti itu, ramal Ong Kian Ming.

Ahli Parlimen Bangi yang juga penganalisis pilihan raya itu berkata pemimpin Umno terlalu yakin untuk mengumumkan BN mampu memenangi 37 atau dua pertiga daripada 56 kerusi negeri itu sebagaimana yang dicapai di Melaka pada pilihan raya tahun lalu.

Sebaliknya, BN lebih berkemungkinan memenangi 27 kerusi, kurang dua daripada majoriti kukuh, manakala PH akan memenangi 22 kerusi, ramal Ong.

Perikatan Nasional (PN) akan memenangi satu kerusi, manakala enam kerusi lain terlalu sukar untuk diramal.

“Keyakinan berlebihan di pihak BN ini tidak kena pada tempatnya atas beberapa sebab. Pertama, keadaan selepas PRU14 di Johor jauh berbeza dengan Melaka.

“Di Melaka, Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi majoriti 2 kerusi (15 lawan 13) menentang BN di 28 kerusi DUN. Di Johor, PH mempunyai majoriti selesa 17 kerusi (37 lawan 19) menentang BN di 56 kerusi DUN,” kata Ong dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, di Johor, PH memenangi lebih 55% undi di 21 kerusi, berbanding hanya 5 kerusi yang mana ia memenangi lebih daripada 55% di Melaka.

Bagaimanapun, Ong meramalkan peratusan keluar mengundi lebih rendah untuk pilihan raya Johor, dan turut memberikan sebab.

“Kadar keluar mengundi Cina akan mengalami kejatuhan yang lebih besar berbanding pengundi Melayu kerana lebih ramai daripada mereka bekerja di Singapura pada masa ini dan tidak mungkin kembali mengundi.

Sebahagian daripada pengundi India bekerja di Singapura tetapi ramai yang lain juga mungkin merasa kehilangan hak dan kecewa dengan proses politik, lebih daripada pengundi lain.”

Peratusan keluar mengundi yang lebih rendah juga akan menjejaskan sokongan kepada PH, yang beliau ramalkan menurun sebanyak 15% dalam kalangan orang Melayu, 10% dalam kalangan Cina dan 15% dalam kalangan India.

“Kejatuhan sokongan Melayu adalah disebabkan oleh Perikatan Nasional (PN) (khususnya pengaruh Muhyiddin di Johor) merampas sokongan Melayu daripada PH,” kata Ong sambil menambah bahawa ini berlaku dalam pilihan raya Melaka, yang mana PN, dan bukan Umno meraih sokongan Melayu kepada PH.

“Kita boleh menganggap trend yang sama di Johor,” katanya.

Mengenai sokongan orang Cina, Ong berkata tidak ada perubahan besar dalam kalangan etnik ini daripada PH dalam pilihan raya Melaka.

Bagi undi kaum India, beliau berkata terdapat perubahan kepada BN di beberapa kawasan dengan bilangan kaum India yang lebih besar dalam komuniti B40.

Merujuk kepada pengundi kali pertama di Johor, yang berjumlah hampir 780,000 berikutan penguatkuasaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, Ong meramalkan peratusan keluar mengundi akan menjadi yang tertinggi bagi kumpulan ini dalam kalangan orang Melayu, iaitu 60%.

Beliau meletakkan peratusan keluar mengundi untuk pengundi kali pertama dari kaum Cina pada 50%, dan 40% untuk pengundi baharu yang lain.

“Dalam kalangan kumpulan pengundi kali pertama ini, BN tidak boleh menganggap ia akan memenangi lebih daripada 50% undi mereka, terutamanya dan termasuk pengundi Melayu. Tidak dinafikan, saya telah mendengar bahawa BN sedang menjalankan kempen yang baik seperti menganjurkan pertandingan futsal dan badminton malah turut menceburi bidang e-sukan untuk menarik undi belia. Tetapi PH juga mempunyai kempen media sosial yang baik dan bersama-sama Muda dalam menarik sokongan golongan muda, sokongan di kalangan pengundi baharu mungkin akan berpecah kepada tiga gabungan itu.”

Di sebalik ramalannya bahawa BN akan memenangi 27 kerusi dan PH 22, Ong berkata masih terlalu awal untuk meramal keputusan pilihan raya.

“Kehadiran pengundi akan menentukan keputusan akhir. Maknanya setiap undi adalah penting,” katanya.

Beliau berkata pengundian Sabtu ini adalah sukar untuk diramal secara muktamad kerana banyak pembolehubah yang berbeza dari satu kerusi ke satu kerusi.

Antaranya termasuk andaian bahawa, parti yang lebih kecil seperti Pejuang dan Warisan masih mempunyai jangkauan yang terhad. – 10 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen