PERSATUAN Hospital Swasta Malaysia (APHM) menggesa Kementerian Kesihatan untuk membenarkan penggunaan ubat antiviral bagi merawat kes Covid-19 yang teruk di hospital swasta.
Presidennya Dr Kuljit Singh mengulas mengenai berita kementerian telah mencapai persetujuan dengan Pfizer bulan lepas untuk menerima ubat antiviral Paxlovid, yang akan tiba sebelum akhir bulan ini.
“Kelulusan antiviral untuk Co-Vid 19 juga harus diperluaskan ke hospital swasta kerana terdapat sejumlah besar pesakit swasta yang mendapatkan rawatan untuk Covid-19 termasuk untuk penjagaan long covid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menggesa kerajaan untuk sertakan hospital swasta dan membenarkan mereka mengambil bahagian secara berterusan dalam pelan peralihan memasuki fasa endemik, daripada vaksinasi kepada merawat pesakit Covid-19 di kemudahan swasta.
“Ini akan meringankan beban perkhidmatan awam,” katanya.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata Paxlovid keluaran Pfizer, dijangka akan mula diterima akhir bulan ini.
Beliau berkata bagi perolehan fasa pertama antiviral itu, Malaysia telah membeli ubat itu untuk 110,000 pesakit, bagi diberikan kepada individu berisiko tinggi.
Kementerian juga sedang mempertimbangkan ubat antiviral lain - Molnupiravir oleh Merck dan satu lagi oleh AstraZeneca, tambah Khairy.
Dalam pada itu, APHM mengalu-alukan langkah Putrajaya untuk membuka sempadan Malaysia kepada pengembara antarabangsa pada 1 April. Pengembara tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan dengan syarat mereka telah diberi vaksin sepenuhnya.
Dr Kuljit berkata ini akan menjadi rangsangan penting untuk pelancongan perubatan, yang telah berkurangan kepada hanya beberapa kes sejak dua tahun lepas disebabkan sekatan pergerakan dan penutupan sempadan untuk membendung wabak itu.– 10 Mac, 2022.
Komen