PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini mengimbau kembali kenangan buruk pada 2018 apabila harga minyak sawit rendah ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan mungkin mempengaruhi sentimen pengundi dalam kalangan pekebun kecil.
Pemilik ladang kelapa sawit kecil di Johor yang terjejas teruk akibat harga rendah pada 2018 masih menyalahkan PH walaupun mereka mengakui ada faktor luaran lain memainkan peranan.
Bagaimanapun mereka mendakwa tidak boleh percaya lagi PH kerana kerajaan persekutuan ketika di bawah Dr Mahathir Mohamad telah menyinggung perasaan China dan India, dua pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, menambah Dr Mahathir dan PH telah memburukkan keadaan.
Retorik Barisan Nasional (BN) untuk menyalahkan gabungan politik pesaing nampaknya berkesan, dengan mudah mengabaikan faktor luaran yang menekan harga.
Pekebun kecil di Yong Peng dan Paloh di Johor memberitahu The Malaysian Insight tentang rasa tidak senang ini yang boleh menjejaskan undi mereka dalam PRN akan datang.
Sementara yang lain merasakan PH tidak cukup membantu pekebun kelapa sawit walaupun tahu kesusahan mereka akibat harga komoditi yang rendah ketika itu. Ada gesaan ketika itu supaya kerajaan persekutuan menetapkan harga dasar bagi kelapa sawit.
Tham Kian Wan, 59, yang memiliki ladang kelapa sawit seluas 15 ekar di Yong Peng, berkata dua tahun lalu apabila harga merosot, dia hilang pendapatan malah terpaksa menjadi penjaja makanan untuk menyara keluarganya.
Beliau berkata pemilik ladang adalah orang yang realistik ketika mengundi.
“Tidak kira siapa yang berkuasa, selagi mereka boleh tolong kami, kami akan sokong mereka,” kata Tham.
“Saya sudah tahu siapa yang saya akan undi.”
Bagaimanapun, beliau tahu harga minyak sawit kini tinggi berikutan pandemik Covid-19, disebabkan faktor luaran dan permintaan antarabangsa.
Harga rendah semasa pemerintahan PH menjadi antara topik yang digunakan BN dalam kempen untuk PRN Johor. Pengundian pada hari Sabtu ini.
Seorang lagi pekebun kecil Cina di Yong Peng, Ng Sing Chuan, berkata harganya ialah RM270 setan metrik pada 2019, dan meningkat sehingga RM1,200 setan metrik pada Mac ini.
“Sekurang-kurangnya sekarang kami tidak akan rugi walaupun harga baja telah naik dari RM110 kepada RM170. Kami boleh terus suburkan tanaman kami selagi harga minyak sawit kekal tinggi,” kata lelaki berusia 53 tahun itu yang memiliki 20 ekar.
Apabila harga jatuh pada 2018, Ng berkata penanam menyalahkan PH kerana membuat dasar yang tidak kondusif untuk perniagaan Cina.
Beliau teringat bagaimana bank menafikan pinjaman kepada penanam kerana risiko yang tinggi.
Seorang lagi pemilik ladang, Paul Wong, 58, juga dari Yong Peng, berkata pengundi Cina gembira selagi mereka dapat menyediakan tiga hidangan di atas meja dan selagi dasar kerajaan adil.
“Kami tidak akan ulas sama ada kerajaan betul atau salah, selagi mereka boleh tolong pemilik ladang kecil, kami akan sokong mereka,” kata Yong, yang memiliki 125 ekar.
Pemilik ladang Paloh tidak berpuas hati dengan PH
Di Paloh, seorang pekebun yang hanya mahu dikenali sebagai Yang, 55, berkata apabila harga sawit jatuh, mereka takut untuk menyuburkan tanaman mereka kerana bimbang tidak ada permintaan.
Kini, bagaimanapun, terdapat masalah baharu - walaupun harga melambung tinggi, penanam tidak ada pekerja yang cukup.
Seorang pekebun wanita yang mahu dikenali sebagai Wu, 63, menceritakan apabila harga jatuh, pemilik kecil sepertinya tidak dapat mendapatkan pinjaman bank, sehingga dia hampir terpaksa abaikan ladangnya.
“Apa yang kerajaan buat untuk saya pada masa itu?” soalnya.
Tan, isteri seorang pekebun kecil, berkata dia memberi peluang kepada PH tetapi mereka tidak buat apa-apa untuk rakyat.
“Anak saya bekerja di Singapura. Selagi mereka kekalkan pekerjaan mereka di sana, saya boleh tinggal di sini. Apakah masa depan mereka di sini?” tanya ibu kepada tiga anak berusia 43 tahun itu.
Ingatannya yang paling kuat terhadap pemerintahan PH apabila ia memberi tumpuan kepada “perkara kecil seperti warna kasut sekolah”, tambahnya.
Harga sekarang lebih baik, tetapi satu perkara yang dibimbangkan pekebun kecil, mereka tidak akan dapat bahagian daripada 32,000 pekerja asing yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk memasuki sektor perladangan.
Ladang besar lebih berkemungkinan dapat manfaat, kata mereka.
Kos permohonan pekerja asing juga meningkat daripada RM7,000 kepada RM8,000, kata mereka.
Faktor utama pada 2018 dan 2019 apabila harga minyak sawit melanda teruk termasuk sekatan Kesatuan Eropah terhadap import minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia disebabkan kebimbangan alam sekitar dan penebangan hutan.
Ini menyaksikan harga jatuh kepada AS$450 setan pada 2018.
Kini, dengan konflik Ukraine-Rusia, minyak sawit mentah telah mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM6,000 setiap tan metrik disebabkan kebimbangan bekalan. – 10 Mac, 2022.
Komen