DAP dijangka kalah teruk di Johor, kata penganalisis


Angie Tan

Para penganalisis berkata MCA lebih ada harapan berbanding DAP yang menggunakan isu lapuk yang digunakan dalam pilihan raya umum lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2022.

KEKALAHAN DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sejak 2018 dijangka berterusan apabila rakyat Johor keluar mengundi Sabtu ini, berikutan kekecewaan pengundi dan retorik lapuk, kata penganalisis.

Mereka berkata MCA, parti Cina Barisan Nasional (BN), boleh menjadi mendapat manfaat utama akibat prestasi buruk DAP selepas menggunakan isu skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk memenangi Johor dan Putrajaya empat tahun lepas.

Penganalisis politik Liew Wui Churn berkata PRN tidak menarik sangat kerana ramai pengundi menganggap ianya tidak perlu diadakan.

“Pengundi mungkin tidak berminat untuk keluar mengundi kerana pandemik Covid-19 dan juga kecewa dengan situasi politik negara,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya sokongan DAP daripada pengundi muda dan pengundi luar bandar pada 2018 akan berkurangan kali ini.

“Pada 2018, semua parti pembangkang ada kuasa penggerak yang sama iaitu untuk jatuhkan BN, tetapi naratif ini agak lapuk sekarang. Apatah lagi Johor (setakat 2018) sentiasa menjadi kubu kuat BN.

“Pakatan Harapan (PH) dan DAP nampaknya tidak dapat mengubah keadaan pada hari buang undi Sabtu ini,” tambah Liew.

DAP dan PH telah berkempen mengenai etika dan moral, menggesa pengundi supaya tidak membiarkan “kleptokrat” kembali berkuasa, merujuk kepada skandal 1MDB dan Najib Razak. Bekas perdana menteri itu, walaupun disabitkan bersalah oleh mahkamah, turut berkempen di beberapa kawasan di Johor untuk BN dan telah berjaya menarik orang ramai.

Liew berkata mesej DAP dan PH tentang menolak rasuah dan kleptokrasi adalah serupa dengan “berkempen untuk Pilihan Raya Umum (PRU)”, yang menurutnya adalah taktik yang tidak berkesan dalam PRN baru-baru ini seperti di Sarawak dan Melaka, di mana pakatan pembangkang turut kalah.

“Mereka menggunakan taktik yang sama di Sarawak dan Melaka dan mengulanginya di Johor.

“DAP berkempen seolah-olah ini PRU sedangkan realitinya pengundi hanya pentingkan apa yang mereka boleh buat untuk negeri ini.”

Di Melaka, BN menang 21 daripada 28 kerusi. Sebulan kemudian pada Disember, ia menang 76 daripada 82 pada PRN Sarawak.

Walaupun pendirian antirasuah penting, Liew berkata DAP tidak sepatutnya isu itu sahaja yang penting.

“Orang ramai sedang bergelut,” katanya mengenai kehilangan pekerjaan dan pengurangan pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan ekonomi yang perlahan.

Sehubungan itu, Liew memuji calon DAP di Pekan Nanas, Yeo Tung Siong, yang menumpukan perhatian kepada isu sara hidup di kerusi itu.

“Pada mulanya MCA mempunyai momentum yang kuat di Pekan Nanas. Tetapi penduduk tempatan berkata Yeo telah mengubah strateginya untuk memberi tumpuan kepada kehidupan rakyat dan berjanji untuk menambah baik kawasan itu.

“Ini berikan MCA sedikit persaingan sekarang.”

Liew berpendapat daripada 15 kerusi yang ditandingi, parti etnik Cina dalam BN itu boleh menang sekurang-kurangnya tiga kerusi. Ia sudah kalah teruk di Johor pada 2018, dan hanya menang satu kerusi Parlimen, Ayer Itam, dalam PRU itu.

“Jika MCA boleh menang tiga kerusi DUN, itu satu kejayaan besar,” kata Liew.

DAP bertanding 14 kerusi dan Liew tidak fikir ia akan jadi mudah buat parti PH. Johor mempunyai sejumlah 56 kerusi DUN.

Lau Zhe Wei, profesor madya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), juga meragui DAP boleh bangkit semula dalam PRN ini.

“Ada pelbagai faktor seperti pengundi luar tidak pulang. Satu-satunya perkara yang boleh diharapkan DAP sekarang ialah Undi 18 dan pengundi muda.

“Walaupun begitu, segmen ini belum teruji,” katanya mengenai pengundi baru yang berjumlah kira-kira 750,000 daripada 2.59 juta pengundi Johor.

Lau juga berkata pengundi mungkin kecewa dengan PH yang hanya pegang kuasa persekutuan selama 22 bulan dan tidak dapat melaksanakan banyak janji PRU. Hal ini digunakan BN dalam kempennya.

Lau meramalkan DAP tidak akan dapat mengekalkan semua 14 kerusinya, dan MCA akan menang “beberapa” kerusi.

Penganalisis politik Tok Kiah Wah berkata BN mempunyai kelebihan di Johor kerana negeri itu adalah kubu kuatnya.

“BN ada kekuatan akar umbi tradisional di sini dan ia mampu sepenuhnya membentuk kerajaan.”

Tok meramalkan PH mungkin pertahan kerusi yang dimenanginya sebelum ini, di kawasan campuran dan di kerusi yang berlaku pertembungan pelbagai penjuru. Tetapi ia tidak akan cukup untuk bentuk kerajaan negeri, tambahnya.

MCA mungkin akan menang lima hingga lapan kerusi, kata Tok.

“Melainkan DAP tampil dengan strategi yang lebih baik, peratusan keluar mengundi akan menjadi rendah. Jika kurang daripada 65% peratus, ia akan merugikan parti pembangkang.

“Jika ia melebihi 65 peratus, ia akan ada peluang.”

Pada PRU 2018, MCA hilang semua kerusinya di Johor manakala PH menang 36, di mana 14 daripadanya dimenangi DAP. – 10 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen