Adun PAS boleh jumpa pegawai daerah berhubung peruntukan, kata Azmin 


Radzi Razak

Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali mengadakan lawatan ke Pasar Taman Seri Gombak, hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Husssain, 9 Februari, 2018. 

ADUN PAS yang tidak mendapat peruntukan pembangunan di DUN mereka boleh bertemu dengan pegawai daerah masing-masing, kata Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.

Menurut Azmin, beliau telah meluluskan peruntukan pembangunan di peringkat DUN kepada daerah terlibat dan meminta mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati untuk bertemu dengannya sendiri.

“Saya sudah beritahu mana-mana Adun yang ada masalah peruntukan boleh berjumpa dengan pegawai daerah. Boleh berjumpa saya. Tidak ada masalah. Tidak perlu jumpa sultan. 

“Saya telah terima permohonan daripada Adun tentang projek di kawasan mereka dan saya sudah serah kepada pegawai daerah untuk diluluskan. Tak ada masalah,” kata beliau ketika ditemui dalam lawatan ke DUN Bukit Antarabangsa hari ini.

Selasa lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi memberi amaran kepada Azmin untuk mengambil tindakan sekiranya peruntukan sebanyak RM800,000 itu tidak disalurkan sebelum perayaan Tahun Baru Cina.

“Kalau kami masih belum terima juga, dan apabila Adun lain yang kami difahamkan ada yang boleh menggunakan peruntukan ini, maka selepas Tahun Baru Cina ini kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk buat kenyataan rasmi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS pada selasa.

Azmin berkata Selangor merupakan satu-satunya negeri yang menyalurkan peruntukan kepada pembangkang negeri di negara ini.

“Saya cakap semua Adun. Umno juga beri, tidak ada kerajaan negeri di dunia ini beri peruntukan pada pembangkang di Parlimen tidak, saya sebagai ahli Parlimen Gombak, saya sendiri tidak dapat peruntukan (dari kerajaan pusat).

“Kalau kita beri kepada Umno, kenapa tak beri kepada PAS?” kata beliau.

Sallehen dalam satu laporan Berita Harian yang disiarkan 22 Januari lalu mendakwa dimaklumkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri bahawa peruntukan untuk wakil rakyat PAS itu disekat.

Azmin kemudiannya menafikan perkara tersebut dan mengatakan terdapat sedikit masalah yang menyebabkan peruntukan pembangunan tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada setiap Adun pada 1 Januari itu mengambil sedikit masa untuk disalurkan kali ini.– 9 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen