KUMPULAN perniagaan di Johor mahukan pentadbiran negeri lebih kukuh dan stabil yang akan menjadikan ekonomi Johor sama baik seperti Singapura.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka mahu kerajaan berorientasikan rakyat dengan dasar perniagaan yang telus dikuatkuasakan selepas pilihan raya 12 Mei.
Tuntutan ini perlu bagi membantu negeri pulih dari segi ekonomi, kata ketua pelbagai kumpulan memandangkan perniagaan di Johor Bahru terutamanya terjejas teruk dalam dua tahun lepas berikutan banyak penutupan dan sekatan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Mereka juga bercakap tentang kehilangan kuasa perbelanjaan rakyat Singapura dan Malaysia yang tinggal di republik pulau itu.
Hampir 50% perniagaan mereka diperoleh daripada pengguna merentasi sempadan tetapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penutupan sempadan antarabangsa dan kemudian pengaturan perjalanan yang ketat memaksa banyak perniagaan ditutup.
Jimmy Leong dari Persatuan Pemandu Pelancong Johor mahu kerajaan negeri baharu mempunyai dasar yang jelas dan telus serta mewujudkan peluang pekerjaan.
“Kita boleh jadi sebaik Singapura dan itu sepatutnya menjadi matlamat kerajaan baharu. Bagi mencapai itu mereka perlu membawa masuk pelabur baharu termasuk pelaburan asing.
“Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan tetapi perlu ada dasar ekonomi yang jelas untuk semua dan dasar itu mesti boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor kerana ramai antara kita bergantung kepada kerja di Singapura untuk mendapatkan gaji yang lumayan,” katanya.
Leong berkata kerajaan negeri harus memperkasakan industri pelancongan.
“Kita perlukan lebih ramai orang datang ke Johor untuk melonjakkan ekonomi kita. Industri pelancongan boleh memainkan peranan itu dengan bantuan kerajaan negeri.
“Kerajaan boleh membatalkan undang-undang banyak sekatan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan sektor pelancongan di sini,” katanya.
D. Ravindran dari Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil India berkata kerajaan tidak boleh mengabaikan peniaga kecil.
“Peniaga kecil memerlukan bantuan kerajaan kerana majoriti rakyat kurang kausa membeli.
“Dengan bantuan kami boleh meningkatkan perniagaan kami dan membantu ekonomi negeri. Pembukaan semula sempadan kami pasti akan membantu juga.
“Pelancongan Johor adalah sangat penting kepada penduduk di sini. Jika kita boleh meningkatkan pelancongan kita dan membuat orang berbelanja lebih di Johor tanpa ragu kita boleh menjadi sebaik Singapura,” tambah Ravindran. – 10 Mac, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen