Dr Mahathir tidak bertanding pada PRU15


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberikan alasan kesihatan yang lemah dan faktor usia untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2022.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akan mempertahankan kerusi Langkawinya pada pilihan raya umum akan datang, lapor Utusan Malaysia.

Pemimpin berusia 97 tahun itu memberikan alasan kesihatan yang lemah dan usianya serta rawatan baru-baru ini di Institut Jantung Negara (IJN) untuk tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang.

“Saya masih belum pulih. Saya masih lemah. Jadi saya rasa kita patut beri peluang kepada orang lain,” katanya kepada pemberita di Langkawi hari ini.

Bekas perdana menteri itu juga memberitahu akhbar pihaknya masih belum mengenal pasti penggantinya.

“Saya ingat bagi peluang pada calon lain dan pastinya nak cari orang yang lebih muda dari saya (bertanding di kerusi Parlimen Langkawi),” katanya.

Dr Mahathir berkata bagaimanapun beliau akan tetap berkempen untuk Pejuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRU15.

“Saya mungkin bercakap sedikit semasa kempen pilihan raya untuk membantu calon Pejuang,” katanya.

Dr Mahathir mula menjadi perdana menteri pada 1981 dan meletak jawatan 2003.

Beliau membuat kemunculan semula pada 2018, menjadi perdana menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan tetapi sekali lagi meletak jawatan kerana politik dalaman Bersatu, parti yang diasaskannya selepas meninggalkan Umno menjelang pilihan raya umum ke-14. – 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen