SEKUMPULAN 14 pembeli rumah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang mendakwa ditipu dalam pembelian rumah kos rendah, hari ini menghantar memorandum kepada ketua menteri Chow Kon Yeow meminta agar dapat membela nasib mereka.
Mereka yang diwakili K. Elemperu Valuthi, 64, mendakwa ditipu seorang bekas pembantu khas kepada Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy empat tahun lepas.
Menurut Elemperu Valuthi bekas pembantu khas itu telah mempengaruhi orang ramai bahawa dia boleh membantu mereka untuk mendapatkan rumah kos rendah milik kerajaan negeri yang berharga RM42,000.
“Selain itu, lelaki tersebut juga meminta komisen wang tunai daripada pembeli iaitu RM3,000 hingga RM8,000 kononnya bagi memudahkan mereka (pembeli) mendapatkan rumah kos rendah tersebut, namun sehingga ke hari ini tiada dalam kalangan mereka mendapat tawaran rumah terbabit.
“Pada mulanya lebih 30 orang yang menjadi mangsa pembantu khas tersebut, tetapi 16 orang telah menerima semula duit selepas dia mengetahui berkenaan penyerahan memorandum hari ini. Jadi, yang belum dapat (duit) minta agar ketua menteri dan Ramasamy dapat membela nasib mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada wakil Chow dan Ramasamy, di Komtar di George Town, hari ini.
Terdahulu berlaku ketegangan selepas tercetus perang mulut antara kumpulan pembeli dan tiga individu yang mendakwa penyokong Ramasamy, namun tindakan pantas anggota polis berjaya meredakan keadaan.
Elemperu Valuthi berkata kumpulan pembeli itu telah melaporkan penipuan tersebut kepada Ramasamy, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil.
“Pembeli berharap sangat isu ini dapat ditangani segera kerana mereka yang membeli adalah golongan kurang berkemampuan dan memang memerlukan rumah murah itu,” katanya.
Sementara itu, Ramasamy ketika dihubungi bagi mengulas isu berkenaan berkata beliau tidak tahu mengenai isu berkaitan penipuan membabitkan bekas pembantu khasnya itu dan enggan mengulas lanjut. – Bernama, 9 Mac, 2022.
Komen