Bekas ahli mahu sertai semula Umno perlu lalui tapisan, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli yang ingin menyertai semula parti itu perlu melalui beberapa peringkat tapisan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2022.

BEKAS ahli Umno yang ingin menyertai semula parti itu perlu melalui beberapa peringkat tapisan, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau menghormati sebarang permohonan untuk memasuki Umno tetapi ia perlu melalui proses sebagaimana dalam peraturan dan perlembagaan parti itu.

“Saudara Rosleli Jahari ini adalah sahabat lama saya ketika dalam Pemuda. Alhamdulillah, beliau mempunyai kesedaran untuk kembali ke pangkal jalan dan saya lihat beliau juga turun membantu calon kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama ahli parti di Kempas hari ini.

Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas wakil rakyat Bersatu bagi Johor Lama itu yang mengumumkan keluar parti dan mahu menyertai semula Umno.

Beliau berkata Umno turut mengalu-alukan keberadaan Rosleli dan bekas ketua Bahagian Bersatu Mersing Laili Yusof dalam parti itu.

“Saya yakin jika lebih ramai lagi ahli Bersatu seluruh Johor dan seluruh Malaysia (ingin menyertai semula Umno) maka pintu Umno sentiasa terbuka.

“Biarpun kita tahu kita pernah terguris namun saya harap kawan-kawan saya dalam Umno juga berlapang dada dan berfikiran terbuka,” katanya yang berharap sikap dan cara pemikiran bekas ahli terbabit berubah serta tidak akan menjadi duri dalam daging di dalam Umno.

Terdahulu, ketika ditemui selepas beramah mesra bersama dengan pengundi di Bilik Gerakan Parlimen Iskandar Puteri, Gelang Patah yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) bagi Kota Iskandar Pandak Ahmad dan Skudai Lim Soon Hai, Zahid berkata keputusan kerajaan membuka semula sempadan negara adalah penting bagi melonjakkan kembali sektor pelancongan serta kemasukan pelaburan langsung asing.

Pengerusi BN itu berkata pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembukaan pintu masuk negara cukup penting kerana sektor pelancongan merupakan yang ketiga terpenting dari segi penjanaan ekonomi negara.

“Infrastruktur pelancongan di negara kita adalah antara yang terbaik di rantau Asean dan ia mempunyai produk pelancongan yang pada hemat saya mampu menggamit semula pelancong (asing),” katanya.

Semalam, perdana menteri mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula mulai 1 April ini.

Ismail Sabri dilaporkan berkata keputusan itu selari dengan perancangan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan dijangka merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Zahid dalam ucapannya berkata pemilihan Hasni Mohamad sebagai calon menteri besar Johor BN menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu keputusan parti secara keseluruhan dan tidak bersikap individu.

“Keputusan saya adalah sebagai seorang yang demokrat dan bukan keputusan peribadi, ia adalah keputusan parti. Kita bawa kepada majlis tertinggi, perhubungan dan biro politik Umno negeri sebab Datuk Hasni mempunyai rekod prestasi yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata tindakan parti lawan yang belum mengumumkan calon menteri besar masing-masing membuktikan ketidakyakinan mereka untuk memenangi PRN Johor.

Dalam satu kenyataan, Zahid turut menyifatkan dakwaan Bersatu beliau berhasrat meletakkan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat Mohd Puad Zarkashi sebagai calon menteri besar Johor sebagai sekadar “propaganda murahan” parti itu bagi menutup kegagalan mereka mengemukakan calon bagi jawatan itu. – Bernama, 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen