BEKAS perdana menteri Najib Razak mengupah Karv Communications - sebuah syarikat perhubungan media yang berpangkalan di New York - ketika media AS memusatkan perhatian terhadap perbicaraan bekas jurubank Goldman Sachs Roger Ng yang dituduh mengambil sogokan untuk memudahkan rompakan dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Memetik jurucakap firma perhubungan media portal berita yang berpangkalan di AS Politico melaporkan Karv akan berkhidmat sebagai subkontraktor kepada peguam Najib, Tania Scivetti untuk tempoh awal dua bulan.
Mereka menambah menurut pemfailan Jabatan Kehakiman, Karv akan menerima ASD140,000 (RM585,000) untuk dua bulan bekerja.
Scivetti ialah isteri kepada peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah yang kini mengetuai pasukan pembelaan Najib dalam kes 1MDB.
Dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di mahkamah persekutuan AS di New York, Ng dituduh bersubahat dengan Tim Leissner yang juga bekas pekerja Goldman Sachs dan Low Taek Jho untuk melanggar undang-undang anti pengubahan wang haram AS.
Leissner yang kini merupakan saksi utama pendakwaan mengaku bersalah pada 2018 kerana membantu Low merompak berbilion dolar daripada 1MDB menjadikan Ng satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal itu.
Goldman Sachs membantu 1MDB mengumpul bon AS$6.5 bilion dan menerima yuran AS$600 juta untuk perkhidmatannya.
Menurut Al-Monitor portal berita yang berpangkalan di Washington, pengarah urusan dana itu Yasir al Rumayyan menandatangani kontrak AS$120,000 sebulan dengan firma itu.
Dikatakan firma itu ditugaskan untuk menyediakan “nasihat dan kaunseling pelabur serta perhubungan awam dengan menyediakan jangkauan dan membina hubungan kepada pelbagai pihak berkepentingan dalam perniagaan serta media”.
Najib didapati bersalah pada Julai 2020 atas kesemua tujuh pertuduhan jenayah kerana menerima dana RM42 juta daripada SRC International.
Najib disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Ahli Parlimen Pekan berusia 68 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Pada Disember tahun lepas Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil mengetuai panel tiga hakim bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara bersetuju dengan keputusan hakim menolah percubaan Muhammad Shafee Abdullah untuk memburukkan nama Nazlan. – 9 Mac 2022.
Komen