LIMA anggota sindiket pemalsuan dokumen imigresen melibatkan pekerja asing akan dihadapkan ke mahkamah mulai esok untuk dikenakan lebih 100 tuduhan jenayah yang dilakukan dalam masa lima tahun antara 2015 dan 2020, kata sumber agensi antirasuah.
Mereka akan didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram melibatkan aset bernilai puluhan juta ringgit, kata Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Zamri Zainul Abidin.
“Mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dan seterusnya di beberapa mahkamah lain sepanjang beberapa hari akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mereka difahamkan akan turut didakwa di Selangor, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.
Zamri berkata pertuduhan itu melibatkan aset yang mereka perolehi hasil wang haram daripada kegiatan memalsu dan menjual pas lawatan pekerja sementara.
Aset itu termasuk wang tunai, jam tangan mewah, kenderaan, tanah dan rumah.
SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia melumpuhkan kegiatan sindiket ini selepas menahan suspek untuk siasatan pada April 2021.
SPRM ketika itu mendedahkan sindiket ini mendapat kerjasama “orang dalam” yang membantu mereka menggodam pangkalan data imigresen dan mencetak dokumen palsu di pusat operasi mereka di luar pejabat imigresen.
Dokumen palsu itu kemudian dijual sehingga RM8,000 satu sehingga menyebabkan ketirisan jutaan ringgit pendapatan yang sepatutnya diperolehi oleh kerajaan, selain kebocoran sistem keselamatan negara.
Siasatan SPRM membekukan 147 akaun melibatkan 30 individu dan 11 syarikat bernilai kira-kira RM9.98 juta.
SPRM turut menyita dan membekukan 30 unit hartanah yang dianggarkan bernilai RM11.87 juta selain 66 kenderaan bernilai RM13.69 juta.
Lima suspek itu kini ditahan di ibu pejabat SPRM selepas hadir untuk memberi keterangan hari ini. – 9 Mac, 2022.
Komen