SPEAKER Azhar Azizan Harun memberi tempoh sehingga Selasa depan kepada Najib Razak untuk menjelaskan dakwaan beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Azhar berkata semalam, beliau menerima surat daripada Najib yang meminta lanjutan sehingga Rabu depan untuk memberikan jawapannya.
“Jadi, saya beri beliau sehingga Selasa depan. Jadi, tidak timbul isu beliau enggan mengikut arahan saya.”
“Ia melibatkan fakta sama ada kerajaan menggunakan dana untuk membayar hutang pokok 1MDB,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Azhar menjawab usul Ahli Parlimen Damansara (Tony Pua) untuk merujuk Najib kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Minggu lalu, Pua mengemukakan usul merujuk Najib ke jawatankuasa itu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 36 (12) aturan mesyuarat.
Pua memberi respons kepada ucapan Najib yang mendakwa tiada satu sen pun dana awam digunakan kerajaan untuk membayar balik hutang pokok 1MDB.
Hari ini Pua berkata berdasarkan laporan media, ahli Parlimen Pekan yang berada di Johor itu berkata beliau akan menjawab speaker selepas pilihan raya negeri Johor.
“Pekan enggan mematuhi arahan speaker. Tindakan ini jelas menghina speaker dan Dewan. Tindakan mesti diambil ke atas Pekan.
“Beliau bukan calon yang bertanding di Johor, beliau hanya penyokong kempen.”
“Alasan beliau (Najib) ialah berkempen di Johor. Jika beliau calon lainlah.”
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengingatkan Azhar keputusannya itu memberi gambaran yang politik lebih diutamakan berbanding urusan Parlimen.
“Jika saya adakan mesyuarat PKR Port Dickson, bolehkah speaker menganggap itu sebagai alasan?” tanya ahli Parlimen Port Dickson itu.
Azhar berkata beliau mengambil maklum tentang peringatan ketua pembangkang itu.
“Saya mengambil maklum dan terima kasih atas peringatan itu. Apabila difikirkan semula, saya tidak mengambil kira apa yang dikatakan oleh ahli Parlimen sebelum membuat keputusan.
“Pada masa akan datang, saya akan mengambil kira perkara itu. Saya mohon maaf, YB” katanya kepada Anwar. – 9 Mac, 2022.
Komen