Dewan Rakyat bahas banjir kilat KL hari ini


Noel Achariam

Hujan lebat menyebabkan banjir kilat melanda ibu kota Kuala Lumpur pada Isnin di kebanyakan kawasan. Dewan Rakyat akan membahaskan isu itu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2022.

DEWAN Rakyat hari ini akan membahaskan usul tergempar mengenai banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur pada Isnin.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun membenarkan perbahasan itu atas usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun dari Pakatan Harapan.

“Oleh itu saya benarkan usul ini dibahas hari ini, antara 1 hingga 2 petang,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudian mengemukakan usul untuk membolehkan persidangan Dewan Rakyat diteruskan pada waktu rehat tengah hari.

Menurut Fong, banjir kilat minggu ini menjejaskan banyak tempat di pusat bandar dan meminta supaya kementerian berkaitan memperincikan bentuk tindakan kawal selia yang ada.

Usul Fong yang dikemukakan semalam disokong Fahmi Fadzil (Lembah Pantai-PH).

“Harapan saya bukan saja menteri Wilayah Persekutuan (menjawab), tapi kementerian yang ditugaskan menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) juga boleh, kerana ketiga-tiga kementerian ini saling berkait,” kata Fahmi.

Hujan lebat berterusan lebih dua jam petang Isnin menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dinaiki air.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kadar taburan hujan lebat itu mencecah 155 milimeter berdasar bacaan di Stesen Air Panas dan 106.5 milimeter di Stesen Taman Desa Smart.

Kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat luar biasa dalam tempoh dua jam menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi.

Beberapa sungai di Kuala Lumpur juga dilaporkan melepasi paras amaran sementara enam kawasan teruk dilanda banjir kilat, menenggelami ribuan kenderaan.

Antara kawasan terjejas termasuk Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Leboh Ampang, Jalan Raja Laut, Jalan Kia Peng, dan Jalan Raja Chulan. – 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen