SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng sudah mengarahkan peguamnya memfailkan saman fitnah terhadap Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng dan syarikat media milik parti, The Star, mendakwa mereka menyebarkan pembohongan mengenainya dalam kempen pilihan raya Johor yang sedang berlangsung.
Lim berkata kedua-dua pihak membuat dakwaan palsu mengenai dana yang diperuntukkan kepada sebuah sekolah Cina di Johor semasa Lim menjadi menteri kewangan semasa pemerintahan Pakatan Harapan.
“Saya sudah mengarahkan peguam memfailkan saman fitnah terhadap The Star milik MCA dan Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng atas pembohongan mereka terhadap saya mengenai SJKC Kuek Ho Yao yang bertujuan menyebabkan DAP kehilangan kerusi, terutama kerusi DUN Yong Peng, dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata The Star dalam laporan “online” pada 7 Mac menyiarkan kata-kata Tan, memetik beliau sebagai berkata: “Semasa PRN Johor, beliau (Guan Eng) berani mendakwa memperuntukkan RM4 juta kepada SJKC Kuek Ho Yao. Bagaimanapun, beliau masih tidak berani menafikan syarat peruntukan wang itu ialah menukar nama sekolah tersebut”.
Lim berkata ia dakwaan itu palsu dan tidak benar.
“RM4 juta telah diserahkan walaupun pembinaan belum dimulakan. Sebagai menteri kewangan, saya tidak pernah menetapkan syarat SJKC Kuek Ho Yao mesti menukar namanya untuk menerima peruntukan sebanyak RM4 juta. The Star harus menerima akibat kerana menjadi penyalur berita palsu untuk pemiliknya, MCA,” kata Lim.
Lim berkata Tan mengulangi pembohongannya di Facebook semalam.
“Dalam catatan di Facebook miliknya semalam, Tan bertanya mengapa saya tidak mengambil sebarang tindakan sedangkan beliau sudah mengemukakan soalan yang sama 8 hari sebelum ini pada 28 Februari di akhbar Cina. Tan jelas mahu saya mengambil tindakan terhadap akhbar Cina itu sebagai tambahan kepada tindakan fitnah terhadap The Star milik MCA,” katanya.
Lim berkata sepanjang 22 bulan menjadi menteri kewangan, beliau memperuntukkan RM43 juta untuk tujuan pembinaan baharu kepada 26 sekolah rendah Cina.
Beliau berkata MCA tidak boleh menandingi pencapaian RM43 juta ini sepanjang tempoh 22 bulan mereka berkuasa.
Lim berkata peruntukan sedemikian diberikan tanpa syarat oleh Kementerian Kewangan dengan permohonan timbalan menteri pendidikan ketika itu Teo Nie Cheng.
“MCA menyebarkan pembohongan dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan semula kerusi yang mereka kalah dalam pilihan raya umum 2018, khususnya Yong Peng. Saya tidak mempunyai pilihan selain menyaman di mahkamah apabila pembohongan ini berulang kali secara bersiri dan mula dipercayai oleh orang ramai kerana tiada saman fitnah difailkan,” katanya. – 9 Mac, 2022.
Berita penuh di sini
Komen