Artis tersohor Yusof Gajah meninggal dunia


Pelukis catan Mohd Yusof Ismail yang popular dengan gelaran Yusof Gajah meninggal dunia hari ini. – Gambar Facebook, 9 Mac, 2022.

ARTIS catan Mohd Yusof Ismail yang popular dengan gelaran Yusof Gajah meninggal dunia di rumahnya di Gombak hari ini, menurut hebahan Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA) di Facebook.

Berita kematian itu dimaklumkan oleh ahli keluarganya, kata Pengerusi PeRUPA Zaki Hadri.

“Allahyarham meninggal dunia dalam tidur di rumah, disedari isterinya pagi tadi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Allahyarham pada 6 Mac mengumumkan beliau positif Covid-19 dalam satu kenyataan di Facebook.

Yusof dijadualkan menyertai pameran Asia Art Show yang akan berlangsung pada Ogos.

Beliau dikenali dengan karya naif dan abstrak yang banyak menonjolkan imej gajah. Ilustrasinya banyak disiarkan dalam penerbitan karya kanak-kanak.

Yusof memenangi pelbagai anugerah, antaranya dari Majlis Buku Negara bagi buku bergambar terbaik dan juga anugerah Noma Concours (ACCU) bagi ilustrasi terbaik.

Salah satu bukunya yang popular, The Real Elephant diterjemah ke pelbagai bahasa.

Yusof, 68, lahir di Johol, Negeri Sembilan 10 Februari, 1954. Beliau membesar di Singapura dan mendapat pendedahan awal dalam seni rupa di republik itu, terutamanya seni naif yang kemudian didalami dan dikembangnya sehingga ke akhir hayat.

Ketika berumur 18 tahun, Yusof beliau mendalami seni rupa secara rasmi di Jogjakarta, Indonesia. Asalnya beliau ke Indonesia dihantar ayah untuk belajar pertanian tetapi minatnya memang ke bidang seni.

“Jogjakarta kota seni dan budaya. Saya tercampak ke destinasi yang baik bagi saya. Saya rasa bertuah kerana berpeluang berada dalam satu masyarakat yang begitu menghargai seni,” katanya, dalam satu wawancara pada 2008.

Selepas pulang ke Malaysia pada pertengahan 1970-an, Yusof bergaul dengan kelompok seniman Anak Alam, yang berhimpun di sebuah banglo di tepi Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Nama gelaran Yusof Gajah itu pun didapatnya daripada teman di Anak Alam kerana pada masa itu ada dua lagi pelukis bernama Yusof. Mereka memanggilnya Yusof Gajah kerana lukisannya yang mengangkat imej gajah.

Menurut Yusof, beliau mengagumi gajah yang mempunyai banyak konotasi mengikut pelbagai agama dan budaya.

“Tapi gajah saya bukan realisme. Saya memberikan imaginasi yang bebas kepada teras imej yang menjadi identiti karya saya. Gajah wujud dalam pelbagai ekspresi,” katanya.

Ilustrator dan penerbit buku Azalan Hussain menganggap Yusof sebagai guru dan kawan, yang malah seperti seorang abang kepadanya.

“Yusof degil serba serbi. Degil dalam karyanya. Itu yang membuat dia berjaya. Satu kehilangan besar dalam dunia buku bergambar untuk kanak-kanak di dunia,” kata Azalan. – 9 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen