Manifesto PRN Johor, Muda janji bela golongan pertengahan


Alfian Z.M. Tahir

Muda diketuai bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Parti ini bertanding kali pertama pada PRN Johor dengan meletakkan calon di tujuh kerusi. – Gambar Facebook, 9 Mac, 2022.

PARTI Muda akan bekerja untuk golongan pertengahan dan tidak bergantung kepada bantuan tunai, kata parti berasaskan belia itu menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Parti itu mengisytiharkan ia sebagai mesra-Pakatan Harapan (PH) dan akan bertanding di tujuh kerusi, di mana enam diberikan oleh DAP dan Amanah tetapi akan bertembung dengan PKR di Larkin.

Pada Isnin, Muda melancarkan manifesto pilihan rayanya dengan janji mereka akan menang tujuh kerusi yang ditandingi.

Lima janji itu ialah:

1. Kepimpinan bertenaga dan pantas

2. Mengamalkan demokrasi prorakyat

3. Membela golongan pertengahan (M40)

4. Merapatkan jurang kelas masyarakat

5. Kemajuan ekonomi untuk semua.

“Muda akan memperjuangkan janji ini jika diberikan tempat dalam kerajaan atau sebagai pembangkang. Ini janji Muda,” menurut manifesto.

Dalam ikrar pertamanya itu, Muda berkata ia akan mengamalkan budaya kepimpinan yang bertenaga, pantas, respons dan efektif.

Katanya, budaya kepimpinan pantas dan responsif akan memudahkan dan menyelesaikan kesukaran rakyat.

“Utamakan kebajikan rakyat berbanding kepentingan politik terutama ketika bencana dan malapetaka.”

Muda berkata ia akan berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan kaitan politik.

Parti itu turut berkhidmat untuk masyarakat memerlukan ketika banjir tahun lalu dengan membantu lebih 2,000 keluarga di Selangor, Johor dan Pahang.

Ia turut menggerakkan 15,000 sukarelawan di seluruh negara dalam tempoh seminggu.

Muda turut menyediakan 1,650 komputer riba dan tablet untuk pelajar yang memerlukan di Muar dan di sekolah serta tadika.

Muda menerusi manifesto PRN Johor berkata ia akan berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan kaitan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2022.

Dalam janji keduanya, Muda akan menubuhkan majlis rakyat untuk membincangkan dasar penting dan prinsip yang bakal memberi kesan kepada orang ramai.

Majlis rakyat itu akan diwakili semua lapisan masyarakat, dengan prosiding diadakan dengan kaedah hibrid.

“Adakah ia benar-benar demokrasi apabila wakil dipilih dapat menentukan dasar dan prinspin untuk lima tahun?

“Mengapa tidak mendapatkan pandangan dan mendengar suara pengundi untuk keputusan penting di perhimpunan dewan undangan negeri.

“Era di mana wakil rakyat lebih tahu yang terbaik, sudah berlalu. Rakyat kini lebih bijak,” katanya.

Muda diketuai bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Beliau adalah menteri paling muda pernah dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum pembabitannya dalam Muda, Syed Saddiq adalah bekas ketua Pemuda Bersatu. Beliau keluar parti itu susulan keruntuhan PH pada awal 2020.

Syed Saddiq dan beberapa belia daripada pelbagai latar belakang kemudian menubuhkan Muda, dalam usaha untuk menghapuskan politik lama.

Pada hujung Disember dan awal Januari, Muda berjaya mengumpul sumbangan RM3.2 juta daripada lebih 42,000 penderma dengan 100% peruntukan untuk mangsa banjir.

Muda kemudian melantik juruaudit berlesen untuk menjalankan semakan tadbir urus terhadap kutipan sumbangan awam itu. – 9 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen