Penyelesaian isu banjir perlu seiring perubahan iklim global, kata pakar


Noel Achariam Elill Easwaran

Pihak berkuasa perlu kaji sistem perparitan yang lebih baik dan membina lebih banyak kolam tadahan dengan mengambil kira kesan perubahan iklim bagi mengatasi banjir kilat di ibu negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2022.

MAJLIS perbandaran perlu meningkatkan tahap tebatan banjir selaras dengan tuntutan perubahan iklim global, kata seorang jurutera dan pakar alam sekitar.

Beliau berkata adalah penting pengurusan air akibat hujan lebat dipertingkatkan bagi mengurangkan kesan banjir.

Pihak berkuasa harus melihat sistem perparitan yang lebih baik dan membina lebih banyak kolam tadahan dengan mengambil kira kesan perubahan iklim, katanya.

Aktivis alam sekitar Kolektif Iklim Aidil Iman Aidid berkata Malaysia perlu segera menangani cabaran perubahan iklim.

Beliau berkata ini boleh dilakukan melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi, pendidikan pintar iklim dan sistem pengesanan amaran awal.

“Perubahan iklim bukan lagi isu masa depan yang jauh. Kita sudah pun mengalaminya.

“Hujan luar biasa didorong oleh krisis iklim. Bagaimanapun, kesilapan terbesar harus diletakkan pada kegagalan penyesuaian iklim,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Aidil mengulas kejadian banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur dan Selangor pada Isnin.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hujan lebat luar biasa yang berlangsung selama dua jam menyebabkan banjir kilat di ibu negara.

Beliau berkata sistem perparitan tidak dapat menampung kapasiti air yang tinggi berikutan hujan lebat luar biasa di Kuala Lumpur.

Tuan Ibrahim berkata projek pencegahan banjir di bandaraya termasuk satu di Sungai Bunus dan satu lagi berhampiran pusat latihan polis dijangka siap pada 2024.

“Kita mengalami kelewatan kerana beberapa isu dengan kontraktor sebelum ini,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Dr Zaini Ujang berkata hujan luar biasa yang direkodkan pada Isnin, yang hampir bersamaan dengan purata sebulan, merupakan punca utama banjir kilat.

Beliau berkata purata hujan tahunan negara ialah 2,500mm dan purata bulanan ialah 208mm, sambil menambah hujan yang dicatatkan pada Ahad di stesen SMART Taman Desa ialah 106.5mm dan di stesen Air Panas pula 155mm.

Tahun lepas, hujan lebat pada hujung minggu 17-18 Disember menyebabkan banjir besar di beberapa negeri, termasuk Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Ia menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal dan mengorbankan 54 nyawa. Selangor adalah antara negeri paling teruk dilanda banjir.

Aidil berkata perubahan iklim adalah punca paling ketara banjir di Kuala Lumpur dan kawasan lain.

“Banjir di KL baru-baru ini disifatkan sebagai hujan setengah bulan dalam tempoh dua jam.

“Perubahan iklim menjadikan cuaca ekstrem lebih panas dan tidak dapat diramalkan.

“Terdapat faktor lain seperti penggunaan tanah yang tidak mampan serta sistem perparitan yang tersumbat. Apa yang sama ialah semua faktor ini adalah disebabkan oleh manusia.”

Beliau berkata isu lain ialah sistem perparitan tersumbat oleh sampah kerana negara mengalami pencemaran sisa buangan terutama plastik.

“Malasah sama dihadapi banyak negara Asia Tenggara. Ini menjadi punca utama banjir kilat di KL.

“Perlu ada kesedaran dan kebolehcapaian lebih tinggi kepada gaya hidup sifar sisa, serta Dasar Tanggungjawab Pengeluar (EPR) lanjutan untuk menangani masalah ini.”

Aidil berkata di sisi baiknya, langkah penting untuk menggerakkan perjanjian global mengenai pencemaran plastik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuktikan negara mengambil serius perkara itu.

Bagi pembangunan besar-besaran di pusat bandar, beliau berkata isu lebih utama ialah sama ada sistem perparitan ini dapat menahan kesan luar biasa perubahan iklim dan sampah sarap. – 9 Mac, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen