Khidmat Idrus Harun sebagai peguam negara dilanjut setahun 


Idrus Harun dilantik semula sebagai peguam negara untuk tempoh setahun berkuat kuasa 6 Mac 2022.– Gambar Facebook, 8 Mac, 2022.

IDRUS Harun dilantik semula sebagai peguam negara untuk tempoh setahun berkuat kuasa 6 Mac 2022.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam kenyataan hari ini berkata selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan semula Idrus, 67.

Pada 6 Mac 2020 Idrus dilantik sebagai peguam negara bagi tempoh dua tahun menggantikan Tommy Thomas yang meletak jawatan pada 28 Februari 2020.

Sebelum dilantik sebagai peguam negara, Idrus merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, penasihat undang-undang di Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Cara Negara dan juga Hakim Mahkamah Rayuan.

Ketika diminta mengulas mengenai pelantikan semulanya, Idrus berkata beliau akan menjalankan tugas dan melaksanakan fungsinya mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

“Menjunjung kasih Tuanku Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kerajaan kerana menyambung tempoh perkhidmatan saya selama setahun lagi,” katanya kepada Bernama melalui pesanan WhatsApp. – Bernama, 8 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen