SYARIKAT bioteknologi Amerika Syarikat, Moderna Inc menjangka akan melabur lebih AS$500 juta dalam kemudahan pembuatan vaksin dan ubat di Kenya, kata Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta.
Beliau berkata kemudahan baharu itu akan membantu menyelesaikan masalah ketidaksamaan vaksin Covid-19 yang dialami di seluruh Afrika.
“Kami meraikan satu daripada perkara terbesar yang mungkin berlaku sejak permulaan Covid-19 di benua Afrika,” kata Kenyatta lapor Agensi Anadolu.
Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman dengan Moderna di Nairobi.
Katanya, cabaran itu bukan kerana kekurangan dana untuk membeli vaksin tetapi disebabkan vaksin tidak tersedia untuk dibeli.
Kemudahan mRNA canggih itu akan menumpukan kepada pembuatan bahan ubat, dijangka menghasilkan sehingga 500 juta dos vaksin setiap tahun.
“Ia akan menjadi satu transformasi bukan sahaja dalam membantu kami mengatasi pandemik yang sedang melanda tetapi juga menyediakan benua Afrika untuk mendepani pandemik akan datang,” tambah Kenyatta. – Bernama, 8 Mac, 2022.
Komen