PREMIER Sarawak Abang Johari Openg dijangkiti Covid-19, lapor Astro Awani, dan tidak hadir ke ke satu majlis sempena Hari Wanita Sedunia peringkat negeri hari ini.
Beliau digantikan oleh Menteri Pembangunan Kesejahteraan Wanita, Kanak-Kanak dan Masyarakat Sarawak, Fatimah Abdullah, yang memaklumkan hadirin keadaan kesihatan Abang Johari.
“Saya ingin menyampaikan salam kemaafan daripada yang amat berhormat Tan Sri Abang Johari, Premier Sarawak.
“Kami menerima berita pada jam 9 malam tadi bahawa beliau tidak dapat hadir untuk merasmikan majlis kita pada pagi ini kerana beliau telah disahkan positif Covid-19.
“Sama-sama kita doakan agar Premier Sarawak kita cepat sembuh seperti sedia kala,” katanya, seperti dipetik portal berita itu.
Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada Pejabat Premier Sarawak.
Abang Johari dijadual hadir untuk merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak 2022 di Hotel Pullman Miri, hari ini. – 8 Mac, 2022.
Komen