29% kanak-kanak di Malaysia terima vaksin Covid-19


Sebanyak 1,041,733 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui PICKids. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2022.

SEBANYAK 1,041,733 individu atau 29.3% populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web Covidnow, sejumlah 15,064,528 individu atau 64% populasi dewasa menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,928,999 atau 97.5% melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,205,772 atau 98.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,832,044 individu atau 91% daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,932,526 atau 94.2% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 63,739 dos vaksin diberikan semalam meliputi 15,935 dos pertama, 1,766 dos kedua dan 46,038 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,797,494.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 77 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor mencatatkan 13 kes, diikuti Kedah dan Selangor masing-masing 12 kes dan Terengganu serta Kelantan masing-masing enam kes.

Negeri Sembilan dan Sabah pula masing-masing melaporkan lima kes, diikuti Melaka dan Perak masing-masing empat kes, masing-masing tiga kes di Pahang dan Putrajaya, manakala dua kes direkodkan masing-masing di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. – Bernama, 8 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen