Hishammuddin mahu syarikat pertahanan hentikan bayaran 'komisyen'


Jason Santos

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata keuntungan daripada syaarikat pertahanan boleh disalurkan semula kepada anggota tentera menerusi program kebajikan untuk veteran atau dana pendidikan anak-anak anggota.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2018. 

SYARIKAT yang membuat keuntungan daripada kontrak tentera perlu hentikan pemberian “komisyen” kepada ejen dan menggunakannya untuk membiayai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada tentera, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein. 

Hishammuddin berkata, lebihan keuntungan oleh syarikat sepatutnya dibelanjakan untuk kebajikan anggota tentera. 

“Industri ini boleh menjana wang. Tetapi kamu perlu adil. Kita mahu pastikan mereka belanjakan untuk CSR…dan salurkan kembali kepada tentera,” katanya selepas melawat Kem Tentera Lok Kawi di Sabah, hari ini.

“Zaman ‘ejen komisyen’ kini sudah berakhir. Kita mahu wang ini kembali kepada tentera kita,” katanya. 

Beliau berkata, program CSR untuk tentera tidak memerlukan “wang besar”, dan berkata dana itu boleh digunakan untuk pusat dialisis, sebagai contoh. 

“Sekiranya kamu mendapat keuntungan daripada industri pertahanan dan produknya, mengapa tidak membantu tentera dan salurkan kembali dana bagi membantu anggota veteran dan keluarga anggita tentera?” katanya. 

Terdahulu, Hishammuddin berkata beberapa program telah diperkenalkan untuk meningkatkan kebajikan tentera di negara ini, termasuk rancangan untuk membina 41,000 unit kuarters tentera di Sabah, dan juga membiaya dana pendidikan untuk anak-anak anggota. – 9 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen