PADA malam yang kudus itu, dia telah melayang ke atas langit Johor Bahru, mengitar sehingga ke Austin sebelum menapak naik ke langit kedua, dalam perjalanannya menuju langit ketujuh. Di langit kedua dia disambut makhluk Tuhan yang suci, di situ dia ditunjukkan beberapa paparan yang ngeri.
Imejan atau gambaran yang diletak di hadapan retina matanya itu menunjukkan bangsa Melayu sedang diseksa dalam lembah azab yang galak api merumba. Melayu itu kebanyakannya Bangsa Johor.
Dia benar-benar tergamam, ini kerana selama ini dia merasakan Melayu adalah bangsa terpaling Islam di muka bumi. Bangsa Arab Kristian misalnya menggunakan perkataan atau kalimah Allah untuk merujuk Tuhan, tetapi bangsa Melayu Islam dek terhabis Islam telah menjadikan kalimah itu semacam satu paten, satu copyright, untuk boleh digunakan Melayu yang Islam sahaja.
Bangsa Melayu di sana juga terpaling Islam kerana mereka mencutikan diri pada hari Jumaat berbanding Melayu lain yang bercuti di hari Ahad. Apabila cuti hari Jumaat mereka boleh mengerjakan solat Jumaat dengan begitu selesa. Mandi sunat awal-awal, dan kemudian bergerak ke masjid untuk mendengar khutbah penuh khusyuk selain mengaminkan doa-doa sakral yang membenarkan manusia-manusia palsu di atas muka bumi.
Di sana mata pengajian agama dan jawi semacam wajib. Kalau tidak mengenal jawi dan gagal membacanya maka tidak memadai Islamnya. Segala-gala tentang bangsanya itu amat baik dan elok belaka. Dia tidak pernah terfikir yang tidak-tidak.
Misalnya, bangsa Melayulah yang terpaling juara mempertahankan nasib orang Palestina. Kalau dibuka slot berkorban sempena Raya Haji di Gaza katakan, wah, berlumbaanlah Melayu menghantar wang untuk menyembelih unta, lembu atau kambing di sana. Masing-masing akan tersenyum meleret kerana dapat mengumpul pahala.
Akan tetapi apabila dilihatkan paparan bangsa Melayu sedang dibakar dengan api yang mulanya merah, bertukar menjadi merah jambu, mencanak menjadi kuning pekat, makin panas menjadi kelabu dan kemudian hitam. Melihat bangsa Melayu dilihat rentung apabila dicucuh dengan api putih; dia benar-benar tersentak.
Pada mulanya dia menyangkakan bangsa Melayu yang dibakar itu Melayu liberal, yang contohnya menyanjung hak asasi manusia. Dia juga menyangkakan bangsa Melayu yang dibakar itu mereka yang liberal kerana di muka bumi, mereka itu suka berpakat dengan bangsa bukan Melayu.
Dia juga menyangkakan Melayu yang dibakar itu Melayu yang sesat macam Syiah dan Qadiani.
Dia sangkakan itu Melayu-melayu yang tak sembahyang Jumaat, atau Melayu yang tidak mahu menadahkan tangan untuk doa-doa sakral yang membenarkan manusia-manusia palsu di atas muka bumi. Dia sangkakan Melayu itulah semuanya yang dibakar.
Namun dia tergamam melihat tokoh-tokoh Melayu di peringkat kampung, kawasan, bahagian, daerah, dan negeri. Ketua agama dan imam lebai, juga siak tok kadhi sedang terkinja-kinja buntutnya di atas api yang merah bersilih ganti bertukar menjadi kuning, seterusnya hitam dan akhirnya dek terlalu panas menjadi semacam putih.
“Kenapakah mereka ini dibakar demikian rupa? Mereka Bangsa Johor, Melayu pula.” Dia benar-benar tidak dapat menerima.
Tatkala itulah dia tersentak mendengar kata yang sebenarnya normal sahaja dalam kalangan orang Melayu, tetapi menjadi punca mereka paling ramai disumbat di lembah durhaka itu.
“Rasuah,” demikian balas tukang sambut di langit kedua itu.
Dia seakan tidak percaya — rasuah — itu menjadi sebab musabab bangsa Johor dijadikan bahan api dalam lembah dahsyat. “Alah, takkan sekadar rasuah dibakar begini? Harimau selatan ek…”
Makhluk Tuhan yang suci, yang menyambutnya di langit kedua, dalam perjalanannya menuju ke langit ke tujuh pun mensyarahkan begini:
“Korupsi adalah kefasadan. Kata fasad digunakan oleh Allah dalam kitab suci al- Quran untuk menggambarkan konteks keagamaan mahupun non-keagamaan. Kata fasad atau korupsi digunakan dalam al-Quran lebih 50 kali dan muncul dalam 22 surah al-Qur’ān. Kata fasād juga ditemukan dalam 82 buah hadis.”
Terdengar sayup-sayup jerit teriak mereka yang sedang dicucuh api di lembah itu masuk ke gegendang telinganya. Dia melihat beberapa pemimpin atau YB yang amat dikenalinya sedang melompat-lompat di atas julangan api merumba.
“Tidak selayaknya Bangsa Johor yang glory diperlakukan sebegini tuan…” Dia masih tidak percaya.
“Bangsa paling glory dan raja mereka itu raja segala raja ialah Bangsa Mesir. Raja segala raja waktu itu adalah Firaun, yang lawan mereka adalah gabungan Nabi Musa dan Nabi Harun. Selain menyeru kepada monoteisme, Nabi Musa dan Nabi Harun melawan korupsi Firaun.”
Dia diberitahu kefasadan atau korupsi yang dilakukan Firaun itu pertamanya; adalah memerintah dengan tirani. Keduanya, memecah belahkan rakyatnya dengan mengadu-domba mereka. Ketiga, cenderung kepada satu kumpulan dan mengabaikan yang lain. Keempatnya ialah menindas, membelakangkan, dan menekan mereka yang melawannya.
Dalam surah al-Qasas, ayat 3 dan 4 Allah berfirman, yang terjemahannya: ‘Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.’
“Akan tetapi apakah yang mengakibatkan mereka dibakar sedemikian rupa? Rasuah, bilakah rasuahnya?” Dia masih kurang yakin bangsa itu berlumur rasuah.
Makhluk suci yang menyambutnya di langit kedua, dalam perjalanannya menuju ke langit ke tujuh membuat tanda, “Demikian banyak fasad atau korupsi ketika Pilihan Raya Negeri Johor, janganlah dinafikan ia satu rasuah. Itulah yang menjerumuskan ketua agama dan imam lebai, juga siak tok kadhi itu menggelintin buntut mereka di puncak api yang merah berganti silih bertukar menjadi kuning, seterusnya hitam dan akhirnya dek terlalu panas menjadi semacam putih.”
Dia diberitahu, terdapat sebelas jenis manusia dalam lembah terbakar itu. Bahawa ketua yang sedang dibakar itu adalah zalimun; beliau juga itu mu’tadun, dan kerana tiada akhlak Islamnya itu maka beliau juga kafirun kerana kafir itu bukan kerana tidak beriman tetapi lebih kerana tidak berakhlak; bahawa beliau juga mufsidun iaitu tidak tahu malu mengamal rasuah dan menjenayah korupsi; bahkan beliau juga mukhtalan fakhura yakni yang angkuh dengan jenayah rasuahnya itu.
Beliau juga khawwanan athiman, yang pecah amanah dan kekal dalam dosa. Beliau juga melebih-lebih dengan kekayaannya iaitu farihun. Beliau juga sombong iaitu mustakbirun. Beliau juga musrifun yang suka membazir-bazir dan boros. Terhujung beliau juga kaffar athim yakni degil dan kekal dosa tersebut selain kha’inun iaitu kaki memperdaya.
“Jika itu adalah peranan ketua bangsa tersebut, mengapa rakyatnya yang ramai-ramai itu pula ikut dibakar sama?”
Makhluk suci yang menyambutnya di langit kedua, dalam perjalanannya menuju ke langit ke tujuh gesit menjawab: “Mereka diberi rasuah 200 ringgit untuk mengundi perasuah, penyangak, perompak, pencabul, penjenayah, bos korup yang zalimun, mu’tadun, kafirun, mufsidun, mukhtalan fakhura, khawwanan athiman, farihun, musrifun, kaffar athim dan kha’inun.
“Yang menerima rasuah, yang mengundi perasuah penyangak, perompak, pencabul, penjenayah, bos korup itu lebih-lebih harus dibakar kerana menjual maruah, menjual keyakinan, menjual iman dan Islam, dan mengabaikan perintah Allah.
“Firaun tidak dapat tegak berdiri jika tiada yang menyokongnya. Firaun tidak dapat terus menjahat jika rakyatnya bersama-sama Musa dan Harun untuk melawan dan mengubah enjin dan kapal.”
Dia benar-benar tergamam, ini kerana selama ini dia merasakan Melayu adalah bangsa terpaling glory dengan Islam di muka bumi. Tetapi ternyata bangsa Melayu bangsa paling keji kerana bergelumang dengan tahi.
Demikian dia melihat paparan Melayu dibakar ketika berhenti singgah di langit kedua, dalam perjalanan menuju ke langit ketujuh.– 8 Mac, 2022.
* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.
Komen