Bukan mudah buat BN, kata ketua DAP Johor


Chan Kok Leong

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong percaya PH mempunyai sedikit kelebihan pada PRN Johor 12 Mac ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Mac, 2022.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan berakhir seperti Melaka dan Sarawak, kata Liew Chin Tong, sambil menegaskan keadaan semakin berubah dari hari ke hari dan penyokong mula memahami apa makna kemenangan besar Umno dalam politik Malaysia.

Pengerusi DAP Johor itu memberitahu The Malaysian Insight walaupun benar pembangkang semakin lemah berbanding Barisan Nasional (BN) apabila pilihan raya diumumkan pada 22 Januari, mereka kini bangkit secara perlahan-lahan.

Bekas timbalan menteri pertahanan itu memberi penilaiannya mengenai persaingan di Johor selepas lebih seminggu berkempen.

Liew, antara perancang utama di sebalik kejayaan menguasai Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, berkata Johor berbeza dan tidak boleh dibandingkan dengan Melaka yang mana Umno/BN hampir menang semuanya.

“Di Melaka, ia sangat teruk sejak awal dan ia langsung tidak meningkat. Tetapi pengundi Johor berbeza dan Pakatan Harapan (PH) di Johor juga berbeza,” kata Liew, yang bertanding di kerusi DUN Perling.

Beliau berkata, Pakatan lebih tersusun di negeri selatan tanah air itu dan ramai pengundi benar-benar marah dengan PRN tanpa provokasi yang dicetuskan BN.

Liew percaya pengundi tahu pilihan raya mengejut itu diadakan untuk memenuhi kerakusan individu tertentu.

“Lebih teruk lagi, kemenangan besar di sini akan membantu Umno dalam usaha untuk mengadakan lebih banyak pilihan raya mengejut sama ada di Kedah, Perak atau di peringkat kebangsaan.”

Beliau berkata, ia situasi yang mahu dielakkan ramai di kala pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi yang berterusan.

Selepas kemenangan besar di Melaka dan Sarawak, Liew berkata, ramai termasuk BN berpendapat Johor akan menjadi satu lagi kemenangan mudah.

Namun bekas ahli Parlimen Bukit Bendera dan Kluang itu berkata, BN memandang rendah Perikatan Nasional, PH dan sentimen pengundi.

“Akibat daripada SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan kebimbangan wabak, BN mempunyai kelebihan tipis berbanding gabungan lain. Seperti kami, mereka juga menghadapi masalah untuk menyampaikan mesej kepada 700,000 pengundi baru berdaftar kerana larangan.

“Ini satu masalah umum yang dihadapi oleh setiap orang,” kata Liew.

Sebelum PRN Johor, BN mempunyai 16 kerusi DUN manakala PH dan Perikatan masing-masing 27 dan 12. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Mac, 2022.

Satu-satunya kelebihan BN berbanding parti lain menurut Liew adalah 500,000 pengundi asasnya.

Namun ia sedang cuba diatasi Perikatan di kawasan bandar, kata Liew.

Mengenai apa yang berlaku antara Umno dan pemimpin Perikatan Muhyiddin Yassin, Liew berkata, Muhyiddin mendapat sokongan di negeri itu kerana beliau berasal dari Johor dan pernah seketika menjadi perdana menteri.

“Bagaimanapun apa yang diperoleh Perikatan bukan dengan mengorbankan PH, tetapi sebaliknya BN. Oleh itu, BN mungkin tidak boleh menang mudah di selatan tanah air.”

Seperti BN, Liew berkata, PH mempunyai kumpulan penyokong terasnya sendiri dan walaupun ada yang tidak berpuas hati dengan pakatan itu, mereka tidak mungkin menyokong Perikatan atau BN.

“Kami bagaimanapun tidak pasti sama ada sokongan terhadap Perikatan akan diterjemahkan dengan kemenangan di kerusi. Tambahan 700,000 pengundi baharu menyebabkan sukar untuk membuat ramalan keputusan muktamad.”

Walaupun hari pengundian tinggal beberapa hari lagi, Liew berkata, PH masih mempunyai peluang tipis untuk menewaskan BN bagi menguasai semula negeri itu.

“Ramai percaya kemenangan PH hadir menerusi banyak ceramah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Tetapi sebenarnya kempen bertemu pengundi secara lebih dekat banyak membantu kami.

“Jika kami boleh meraih semula semangat itu, kita mungkin boleh menang kali ini,” kata bekas senator itu.

Sebelum PRN Johor diadakan, BN mempunyai 16 kerusi DUN manakala PH dan Perikatan masing-masing 27 dan 12.

Pada PRN Sabah 2020, BN dan Perikatan Nasional mengalahkan Warisan Sabah selepas memenangi 38 daripada 73 kerusi.

Ia kemudian diikuti kemenangan besar BN di Melaka selepas mereka menguasai 21 daripada 28 kerusi pada November lalu.

Tidak sampai sebulan kemudian, Gabungan Parti Sarawak mencatat kemenangan besar dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN.

Johor adalah pilihan raya pertama yang menyaksikan penampilan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik. Seramai 2.5 juta pengundi layak mengundi pada PRN Johor 12 Mac ini. – 8 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen