
AHLI Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar mencabar Putrajaya menetapkan tarikh tetap bagi Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan setiap lima tahun.
Beliau menggesa kerajaan meminda perlembagaan persekutuan untuk menetapkan tarikh PRU selepas setiap lima tahun.
“Pinda perlembagaan dan tetapkan tarikh, supaya PRU diadakan setiap lima tahun dan bukannya lebih awal.
“Tidak kira apa pun yang berlaku, PRU diadakan lima tahun sekali dan bukannya Parlimen dibubar lebih awal,” katanya semasa perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen PKR itu berkata, beliau membangkitkan perkara itu kerana bimbang dengan jumlah besar dana yang digunakan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Isunya sekarang adalah kos untuk mengadakan pilihan raya negeri. Tumpuan sepatutnya adalah untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Untuk membantu rakyat yang terjejas disebabkan ekonomi. Untuk membantu belia yang terjejas dalam dua tahun kebelakangan ini bagi memulakan perniagaan.
“Namun dana itu dibelanjakan di tempat lain (pilihan raya).”
Beliau merujuk kepada PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.
Sebelum ini, PRN diadakan di Sabah dan Melaka sebelum berakhir penggal lima tahun. – 7 Mac, 2022.
Komen