Muda tawar agenda 'Tekad Muda' buat rakyat Johor


Muda bertanding di 7 kerusi DUN pada PRN Johor 12 Mac ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2022.

MENJELANG pengundian awal esok, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diberi tema ‘Tekad Muda’.

Lima tekad yang digariskan oleh Muda untuk membina Johor yang baharu adalah kepimpinan bertenaga dan pantas, mengamalkan demokrasi prorakyat, membela golongan pertengahan (M40), merapatkan jurang kelas masyarakat dan kemajuan ekonomi untuk semua.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata agenda berlandaskan lima teras itu dibuat dengan rapi dan bersandarkan kepada suara rakyat bagi mengangkat kepentingan masa depan negeri Johor.

“Ia dirangka untuk memastikan urus tadbir Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang cemerlang, dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memastikan kelestarian ekonomi bagi masa depan Johor,” katanya ketika melancarkan Tekad Muda secara maya hari ini.

Syed Saddiq berkata, antara yang ditekankan Muda adalah mewajibkan setiap calon yang bertanding pada PRN Johor untuk mengisytiharkan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan umum, serta mewujudkan laporan pencapaian dan perkhidmatan bagi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Sementara itu, Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz yakin tawaran parti itu tidak bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) Johor yang diperkenalkan lebih awal kerana kedua-duanya berkongsi prinsip sama iaitu antaranya menolak amalan rasuah dan Akta Anti Lompat Parti dilaksanakan segera.

“Pada akhirnya kita cuma mahu pastikan kedua-dua manifesto memberi manfaat kepada rakyat dan pengundi di negeri ini,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Muda mempertandingkan Fikri Musa di DUN Parit Raja, R Sangaran (Machap), Rasid Abu Bakar (Larkin), Amira Aisya (Puteri Wangsa), Lim Wei Jiet (Tenang), Nurafiqah M Zulkifli (Bukit Kepong) dan Azrol Ab Rahani (Bukit Permai). – Bernama, 7 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen