PPN 2.0 perlu bersifat luar biasa, dimulakan segera, kata Muhyiddin


Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin turut mencadangkan agar PPN 2.0 dilaksanakan dengan berteraskan konsep ‘Recovery Plus Plus’ yang bersifat inklusif dan melibatkan pihak berkepentingan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2022.

PELAN Pemulihan Negara (PPN) 2.0 perlu bersifat luar biasa bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mantap di samping meletakkan kembali Malaysia di landasan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin.

Beliau mengesyorkan kerajaan supaya memulakan segera agenda PPN 2.0 yang mempunyai dasar dan strategi yang sesuai, berpaksikan pelaburan berkualiti, produktiviti tinggi serta penciptaan dan peluasan perdagangan.

PPN yang dilaksanakan sebelum ini telah meletakkan proses pemulihan negara pada landasan yang betul melalui tiga aspek pemulihan iaitu keluaran atau jumlah pengeluaran, jumlah pekerjaan dan kualiti hidup, katanya.

“Aspek kedua dan ketiga (pekerjaan dan kualiti hidup) memerlukan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Ini saya istilahkan sebagai ‘Recovery Plus Plus’,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Justeru, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh mencadangkan agar PPN 2.0 dilaksanakan dengan berteraskan konsep ‘Recovery Plus Plus’ yang bersifat inklusif dan melibatkan pihak berkepentingan melalui pendekatan bersepadu seluruh negara.

“‘Recovery Plus Plus’ ini memerlukan polisi dan program yang mantap agar pertumbuhan ekonomi bagi tempoh 2023 hingga 2025 dan seterusnya mantap dan mampan.

“Jika tidak, kita mungkin terperangkap dalam ‘double-dipped growth’ iaitu pertumbuhan ekonomi yang merosot dua kali, atau istilah ekonominya disebut ‘W-shaped recovery’ (pemulihan berbentuk ‘W’),” katanya. – Bernama, 7 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen